30 C
Kota Kinabalu
Khamis, Jun 20, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

TASKA wajib pasang kamera litar tertutup: James Ratib

JAMES… ketika ditemui media di Bilik Media DU, hari ini

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk James Ratib menggesa agar semua Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) diwajibkan untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di premis mereka.

Ini, katanya, perlu menjadi salah satu syarat wajib sebelum mereka dibenarkan memperbaharui lesen operasi TASKA.

Katanya, ini bagi memastikan ibu bapa terus meletakkan kepercayaan kepada TASKA untuk menjaga anak mereka dengan selamat dan tidak diragui.

“Saya amat kesal dengan kejadian yang berlaku di sini baru – baru ini.

“Apabila kita meneliti syarikat ini ada dua lesen iaitu mengendalikan TASKA dan juga Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA).

“Selaku menteri bertanggungjawab khususnya di Sabah, saya melihat perkara ini secara serius,” katanya.

Justeru, James meminta terutama sekali kepada Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah supaya membuat satu garis panduan terutama dalam pengambilan pengasuh.

“Saya mahu mereka yang diambil ini benar-benar menyayangi kanak-kanak sebab kita tidak mahu ia terus berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini bagi mengulas kes dera yang berlaku di sebuah TADIKA di Luyang dan turut tular di media sosial semalam.

James menambah, pihaknya juga tidak mahu ibu bapa yang menghantar anak ke TASKA atau TADIKA hilang kepercayaan disebabkan perkara-perkara sedemikian.

Katanya, semua pengendali TASKA di negeri ini khususnya yang di bawah kendalian kementeriannya akan dipanggil untuk diberi nasihat bagi memastikan perkara itu tidak lagi berulang.

Dalam pada itu, James berkata, pihaknya juga bercadang untuk menubuhkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di TASKA dan TADIKA bagi memastikan keselamatan anak-anak terjaga.

“Mungkin juga kita akan wujudkan PIBG dan mungkin akan datang salah satu keputusan adalah untuk menubuhkan PIBG ini supaya perkara ini tidak lagi berlaku,” katanya.

Sementara itu, James yang juga Adun Sugut berkata, sehingga kini sebanyak lebih 300 TASKA telah berdaftar di seluruh Sabah khususnya yang bernaung dibawah beberapa agensi dan jabatan kebajikan.

“Setakat ini ada lebih kurang 300 TASKAdi seluruh Sabah dimana TASKA ini ada yang bernaung dibawah JPKA, Jabatan Perpaduan dan beberapa agensi Kerjajaan lain di peringkat Persekutuan dan Negeri.

“Jumlah ini tidak termasuk swasta, swasta bukan kendalian kita namun pihak kita yang keluarkan lesen pengoperasian,” jelas beliau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN