Bekas lapangan terbang lama dekat Kg.Sinarut Lama Ranau, lokasi baharu tamu bulanan setiap hujung bulan dan 1 haribulan. –Gambar lama diambil tahun 2015
RANAU: Tamu Bulanan Ranau akan kembali beroperasi setiap bulan mulai 31 Julai hingga 1 Ogos ini di lokasi baharu.
Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Ranau, Elmer Endra Datuk Matius berkata, lokasi baharu itu terletak di tapak bekas lapangan terbang lama dekat Kampung Sinarut Lama, kira-kira 1.5 kilometer dari pekan Ranau
Beliau berkata, tamu bulanan ini akan beroperasi sama seperti sebelumnya iaitu tamu malam setiap hujung bulan dan 1 haribulan, manakala tamu mingguan kekal di tapak tamu lama dekat Sungai Liwagu.

Elmer
“Tujuan utama tamu bulanan dipindahkan ke lokasi baharu adalah bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas disamping menyediakan tapak berniaga yang lebih luas
“Lokasi baharu ini luas dan strategik. Ini membolehkan lebih ramai peniaga tempatan dan luar daerah dapat berniaga selain tempat letak kereta bagi para pengunjung juga luas,” katanya ketika dihubungi media hari ini
Menurut Elmer, dengan pembukaan semula operasi tamu bulanan ini nanti, sosio-ekonomi di daerah ini dapat dipertingkatkan dengan kehadiran pengunjung dari dalam dan luar daerah, sekaligus dapat menyumbang pendapatan kepada pengusaha penginapan, kedai makan, stesen minyak dan sebagainya.
“Tamu bulanan ini juga mampu menarik pelancong daripada luar dan secara tidak langsung budaya, produk tempatan dapat ditonjolkan dan mungkin mendapat peluang untuk pasaran yang lebih baik.

“Selain itu melalui tamu bulanan ini juga mampu menyemarakan lagi budaya tradisi kita iaitu tempat untuk bertemu dan berkumpul, mengeratkan silaturahim dan bertukar-tukar pandangan serta maklumat,” kata Elmer.
Sementara itu, Elmer turut mengingatkan para peniaga dan pengunjung agar sentiasa memastikan tapak tamu ini bebas daripada sampah.
“Majlis Daerah Ranau mengingatkan bahawa tamu bulanan ini adalah tamu bebas sampah iaitu peniaga dan pengunjung perlu menjaga kebersihan tapak ini dengan membuang sampah di tong yang akan disediakan
“Peniaga juga digalakkan untuk menyediakan QR Code bagi memudahkan lagi urusniaga mereka,” tambahnya.
Untuk rekod, pihak Kelab Penerbangan Awam Sabah sudah menyerahkan tapak lapangan terbang lama itu kepada MDR.



