Datuk Haji Faimin Kamin..imbau nostalgia tamu bulanan
RANAU: Selepas sekian lama menyepi, Tamu Bulanan Ranau (TBR) kembali mendapat perhatian warga tempatan apabila ia dianjurkan semula di lokasi baharu iaitu di Padang Terbang Lama Ranau, yang lebih dikenali sebagai Air Field.
Kepulangan nostalgia itu turut disambut oleh Datuk Haji Faimin Kamin, mantan Pegawai Daerah Ranau dan mantan Setiausaha Tetap Kementerian Luar Bandar Sabah. Beliau yang juga anak jati Ranau, mengimbas kenangan manis sewaktu zaman kegemilangan TBR pada era 70-an dan 80-an.
“Saya sendiri tidak ingat bila kali terakhir Tamu Bulanan ini diadakan, dan kali terakhir saya berkunjung ke sana,” katanya DALAM SATU HANTARAN DI FACEBOOK selepas BERKUNJUNG KE tamu tersebut bersama isterinya pagi tadi.
Menurut Datuk Faimin, TBR suatu ketika dahulu bukan sahaja menjadi pusat jual beli barangan keperluan seperti ikan bilis, ikan masin dan kuih tradisional, tetapi juga menjadi tempat pertemuan masyarakat tempatan dan peniaga luar daerah.
Persembahan jalanan seperti silap mata, aksi ular, serta tayangan filem Kung Fu di Pawagam Tai Kong menjadikan tamu ini sebagai acara yang sangat dinanti-nantikan.
Beliau turut mendedahkan sejarah perubahan tarikh tamu tersebut, yang pada asalnya diadakan pada setiap 25 haribulan tetapi kemudiannya dianjak kepada 1 haribulan untuk memberi laluan kepada pekerja bergaji bulanan, sebahagian besarnya terdiri daripada kakitangan kerajaan dan pekerja lombong tembaga Mamut.
Walaupun tidak pasti punca penghentiannya, beliau berpandangan bahawa pelaksanaan tamu mingguan seperti Tamu Rabu dan Tamu Sabtu mungkin menjadi faktor penyusutan keperluan terhadap TBR.

Suasana Tamu Bulanan Ranau yang beroperasi semula di lokasi baharu, bekas lapangan terbang Ranau
Melihat kepada sambutan hangat daripada orang ramai pada kunjungan beliau hari ini, Datuk Faimin mencadangkan agar pihak Majlis Daerah Ranau (MDR) memperkemaskan lagi pelaksanaan TBR. Antara penambahbaikan yang disarankan ialah:
Penyusunan semula gerai mengikut kategori seperti hasil pertanian, makanan dan minuman, kraftangan serta pakaian.
Laluan pelanggan yang lebih teratur untuk memberi peluang sama rata kepada semua peniaga.
Kemudahan tanda arah keluar masuk dan kawasan parkir yang lebih jelas.
Kerja-kerja pembersihan tunggul kayu yang masih banyak di kawasan tersebut.
Datuk Faimin juga mencadangkan agar kawasan Padang Terbang Lama itu dijadikan pusat aktiviti jangka panjang. Antara cadangan beliau termasuklah:
Penganjuran pesta buah-buahan seperti Pesta Durian Ranau.
Pentas sambutan kebudayaan, termasuk sambutan Pesta Kaamatan dan pertunjukan seni untuk pelawat asing.
Kawasan riadah seperti trek joging dan laluan berbasikal.
Usahawan belia, termasuk kios kontena moden sebagai tempat lepak sihat yang boleh beroperasi hingga waktu malam.
“Saya amat berharap kawasan ini dikekalkan sebagai pusat aktiviti masyarakat. Dikatakan kawasan ini bakal dijadikan tapak hospital dan bangunan kedai, tetapi saya persoalkan rasionalnya kerana semasa saya menjadi Pegawai Daerah dahulu, tapak seluas 60 ekar di Lohan Ulu telahpun diperuntukkan untuk hospital,” ujarnya.
Beliau juga menegaskan bahawa kawasan seperti Padang Terbang ini amat sukar diperoleh semula jika dibangunkan, justeru perlu dipelihara dengan sebaiknya.
Dalam nada santai namun berisi, Datuk Faimin turut mencadangkan agar lebih banyak kemudahan asas disediakan, termasuk menambah bilangan tandas awam. Beliau berkongsi pengamatannya terhadap beberapa individu yang terpaksa masuk ke kawasan semak untuk membuang air kecil disebabkan kekurangan kemudahan.
โTiada niat menyinggung mana-mana pihak. Catatan ini hanyalah luahan hati setelah sekian lama tidak mengunjungi tamu. Tahniah kepada Tuan Pegawai Eksekutif MDR dan seluruh warga kerja yang terlibat dalam penganjuran ini,โ kata Faimin.



