GIMIKā¦Hajiji (tengah) ketika menyempurnakan gimik perasmian Program Sentuhan Kasih Rakyat Tahun 2025.
TUARAN: Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) 2025 Negeri Sabah membantu meringankan beban kewangan rakyat dan memastikan kesejahteraan kehidupan terjaga.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, program tersebut menyediakan bantuan tunai sebanyak RM300 setiap bulan kepada penerima yang layak sehingga 31 Disember 2025 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM358.5 juta yang akan memberi manfaat kepada 100,000 penerima.
“Bermula Februari ini seramai 72,058 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam sistem eKasih setakat 31 Disember 2024 telah menerima manfaat ini.
“Daripada jumlah itu, seramai 52,201 penerima telah menerima bayaran terus ke akaun bank pada 17 Februari lalu manakala 19,857 lagi penerima yang tidak mempunyai akaun dibayar secara berperingkat sama ada menerusi bantuan secara tunai atau pembukaan akaun khas bagi memudahkan pembayaran fasa pertama dibuat sehingga bulan Mac ini.
“Oleh itu, kerajaan negeri juga akan melaksanakan Fasa Kedua program ini pada Mei 2025 yang akan memperluaskan lagi manfaat kepada lebih ramai penerima termasuk mereka yang berada dalam senarai eKasih serta golongan miskin dan miskin tegar yang tercicir daripada senarai sebelum ini.
āSaya mahu usaha berterusan dilaksanakan di lapangan bagi memastikan mereka yang tercicir dan layak mendapatkan bantuan ini tapi tidak berdaftar dalam Pangkalan Data Negeri Sabah atau PADANS boleh mengemukakan aduan kepada Ketua Kampung atau Pegawai MySMJ Profiler yang telah ditempatkan di semua pejabat daerah di negeri ini.
“Di samping itu, saya berharap SYUKUR akan menjadi sebuah inisiatif yang menjadi satu gerakan berterusan yang membawa impak positif kepada masyarakat selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat,ā katanya semasa merasmikan Pelancaran Program Sentuhan Kasih Rakyat 2025 Negeri Sabah di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah, pada Rabu.
Sementara itu, amaun pembayaran SYUKUR akan dibayar secara berfasa dengan setiap fasa adalah dibayar secara lump-sum bagi tempoh tiga bulan iaitu sebanyak RM900 akan dikreditkan ke akaun kepada mereka yang mempunyai akaun dan kepada penerima bantuan secara tunai.
Bagi tujuan semakan penerima dan pembayaran boleh dilakukan melalui Laman web Sistem PADAN https://padans.sabah.gov.my/, Laman web http://sukur.sabah.gov.my/. YONO Superapp dan Notifikasi pembayaran (SMS).
Hadir sama, Menteri-menteri kabinet, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Seri Rosli Isa, Pembantu-pembantu Menteri dan Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk (Datu) Rosmadi Datu Sulai./Penerangan-