ADVERTISEMENTspot_img

Syarikat Pemborong gagal selengara rekod stok urusniaga dikenakan tindakan undang undang.

Pegawai Penguatkuasaan KPDN Labuan semasa melakukan Ops Pantau Bekalan keatas syarikat pemborong terbabit.

LABUAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan telah mengambil tindakan undang undang terhadap sebuah syarikat pemborong pembekal barang kawalan berjadual (CSA) kerana didapati gagal menyelenggara rekod stok urusniaga membabitkan pembelian dan penjualan.

Tindakan itu diambil menerusi Ops Pantau Bekalan yang dijalankan oleh pasukan Penguakuasa KPDN Labuan pada Selasa.

Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain dalam satu kenyataan kelmarin berkata hasil pemeriksaan mendapati syarikat berkenaan gagal menyelenggara buku stok pembelian dan penjualan barang kawalan berjadual melibatkan minyak masak dan gula.

Pemeriksaan lanjut turut mendapati syarikat tersebut tidak merekodkan butiran transaksi secara lengkap termasuk tarikh pembelian dan penjualan, kuantiti, harga serta nama dan alamat pembeli dan pembekal.

Perbuatan itu merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122], khususnya Peraturan 13(1).

Di bawah peruntukan undang-undang tersebut, peniaga berlesen yang berurusan dengan barang kawalan diwajibkan menyelenggara buku stok dengan teratur dan dikemas kini dari semasa ke semasa. Kegagalan mematuhi peraturan ini merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat pula, denda boleh mencecah RM2 juta dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.

Dalam pada itu Junaidah berkata pihaknya akan terus mempergiat pemantauan serta pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang berkaitan barang kawalan sentiasa dipatuhi.

Beliau turut menegaskan tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN