31 C
Kota Kinabalu
Ahad, Oktober 6, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

SUKAN PUPUK PERPADUAN PELBAGAI KAUM DAN AGAMA – ROBERT TAWIK

PPM En Mohammad Zaki menyampaikan hadiah kepada juri perbarisan

KENINGAU: Sukan mampu memupuk perpaduan pelbagai kaum dan agama sekali gus mengeratkan tali silaturahim dan muhibbah yang sedia ada selain mampu menjamin kecergasan fizikal dan mental, kata YB Datuk Robert Tawik @ Nordin, Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah merangkap ADUN bagi N.40 Bingkor.

Menurutnya, aspek-aspek ini amat penting dalam usaha kerajaan untuk membangunkan modal insan dan seterusnya membina negara bangsa selaras dengan intipati dalam Dasar 1 Murid 1 Sukan dan Falsafah Pendidikan Negara.

“Kerajaan melalui institusi pendidikan sememangnya mensasarkan dapat melahirkan pelajar yang serba seimbang dari aspek kurikulum mahupun kokurikulum agar mampu mendepani cabaran dunia luar yang semakin hebat setelah tamat persekolahan,” katanya.

Teks ucapannya dibacakan oleh Encik Mohammad Zaki Bin Zakaria, Pemaju Mukim Kawasan Bingkor ketika merasmikan Majlis Kejohanan Sukan Olahraga SMK Bingkor (SMKB) kali ke-51 tahun 2022 di Kompleks Sukan Keningau baru-baru ini

Sementara itu, Pengetua SMK Bingkor, Puan Hajah Faridah Bte Kamaruddin melahirkan rasa bangga dengan kesungguhan dan semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh semua pelajar di sekolah tersebut sepanjang kejohanan olahraga berlangsung selama dua hari.

Encik Mohammad Zaki, Pemaju Mukim Bingkor bersama barisan pentadbir SMKB mengabdikan gambar kenangan sebelum memulakan majlis perasmian

Menurutnya, pembelajaran yang membentuk jati diri seorang pelajar di sekolah boleh dilakukan samada di dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah. “Sukan adalah antara contoh pembelajaran luar bilik darjah yang mampu membantu membentuk kepimpinan dan disiplin seorang pelajar,” katanya.

“Melalui aktiviti sukan, pelajar juga belajar tentang erti perjuangan untuk mencapai sebuah kejayaan yang sememangnya memerlukan usaha keras, komitmen dan disiplin yang tinggi,” katanya lagi.

Beliau berkata, seseorang pelajar seharusnya melibatkan diri sekurang-kurangnya satu acara sukan atau permainan bagi menyahut dasar kerajaan dalam Dasar 1 Murid 1 Sukan di sekolah agar seimbang dari aspek Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek (JERI).

Ketika berucap, beliau turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut secara langsung dan tidak langsung khususnya warga SMKB.

Rumah sukan Cheetah menjuarai pertandingan perbarisan.

Dalam kejohanan sukan olahraga tersebut, sebanyak 12 acara telah mencatat rekod baharu. Antaranya ialah acara 100M, 200M, 3000M, 110M Lari Berpagar, Lempar Cakera untuk semua kategori Lelaki 18TKB, Lontar Peluru Kategori Lelaki Tingkatan 6, Lontar Peluru kategori perempuan 18TKB dan acara 100M, 200M, serta Merejam Lembing bagi kategori perempuan 18TKB. Dua acara 4x100M berganti-ganti iaitu kategori tingkatan 6 lelaki dan perempuan juga mencatat rekod baharu.

Dalam kejohanan ini, acara perbarisan dimenangi oleh rumah Cheetah, diikuti rumah Jaguar, rumah Puma dan rumah Leopard manakala juara keseluruhan digondol oleh rumah Leopard, diikuti rumah Cheetah, rumah Jaguar dan rumah Puma. – DP

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN