James (tiga dari kanan) menyerahkan Smart TV kepada Arifin (dua dari kiri).
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan memperluas pemasangan papan iklan digital di seluruh Sabah untuk mempertingkatkan penggunaan teknologi digital.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib berkata, pemasangan papan digital ini akan diperluas seluruh negeri menerusi inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) dengan kerjasama Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Pemasangan papan iklan digital di seluruh Sabah akan ditentukan oleh PBT dan KSTI.
“Sekarang pihak kami akan mengenal pasti kawasan-kawasan strategik.
“Penggunaan sistem digital membolehkan kandungan papan iklan ditukar dengan lebih mudah tanpa perlu mencetak dan menggantikan bahan secara berulang.
“Kita dapat menjimatkan kos, tidak perlu buat papan iklan berulang kali.
“Sekurang-kurangnya kita ada pembaharuan di Sabah iaitu pendigitalan,” katanya ketika ditemui media selepas majlis Penyerahan Smart TV dan Pembentangan Kad Inisiatif Papan Iklan Digital dan Sistem Solar Bangunan Kerajaan Negeri Sabah, di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau berkata KSTI turut menyediakan pemasangan sistem solar kepada kementerian dan jabatan kerajaan yang bersetuju untuk menggunakan sistem berkenaan bagi mengurangkan penggunaan tenaga elektrik.
“Kita bersedia untuk pasang sistem solar ini kepada mana-mana jabatan kerajaan yang ingin mengurangkan penggunaan tenaga elektrik.
“Pemasangan sistem solar ini dapat mengurangkan kira-kira 10 peratus penggunaan elektrik,” jelasnya.
Mengulas mengenai Smart TV pula, James berkata peranti berkenaan akan diserahkan kepada KKTP sebelum diagihkan kepada PBT.
Sementara itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata cadangan pelaksanaan papan iklan digital dan solar akan diperincikan bersama pegawai kementerian.
“Mengenai dua perkara berkenaan, kami akan perincikan di peringkat kementerian.
“Inisiatif ini sangat baik kerana dapat memudahkan kerja, memberikan maklumat yang baik serta menjadikan kerja lebih berkesan,” ujarnya.
Turut hadir, Setiausaha Tetap KSTI, Datuk Hassan Mahali, Setiausaha Tetap KKTP, Datuk Jumain Abdul Ghani dan Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh./Penerangan–



