ADVERTISEMENTspot_img

D’STEPS dapat pengalaman dan satu gelaran naib johan MDC 2026

Pasukan D’STEPS dapat pengalaman bawa balik satu gelaran naib Johan dari MDC 2026.

Oleh: Vitalis G.Bingkasan

KOTA KINABALU: Persatuan Langkah Tari Sabah (D’STEPS) bawa balik satu gelaran naib johan dan pengalaman yang diperlukannya dari Malaysian Dance Championship (MDC) 2026 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

D’STEPS menghantar kumpulan 15 anggota yang terdiri daripada 10 penari berusia 11-30 tahun dan lima kru bertanding dalam kategori Solo Terbuka, Duo/Trio Terbuka dan Big Group Terbuka.

Pengerusi D’STEPS, Marhaine Yussof berkata, matlamat utama penyertaan mereka adalah untuk mengetengahkan bakat muda seni tarian Sabah di samping mendapatkan pendedahan dan pengalaman berkualiti.

“Tentunya kami telah mendapat pengalaman dan pendedahan berkualiti..menang satu gelaran naib johan adalah bonus,” kata Marhaine.

Pertandingan berlangsung di Dataran Tasik Titiwangsa pada 12-13 Sepetmber dan disertai kumpulan-kumpulan penari dari seluruh Malaysia itu menyaksikan D’STEPS meraih gelaran naib johan menerusi Shamsul Abdullah dalam kategori Solo Terbuka.

D’STEPS diwakili Putri Annisyaqila, Mourina Cassendra Roy @ Kenneth dan Mohammad Mahadir Ismail dalam kategori Duo/Trio, ketiga-tiganya juga anggota pasukan bersama Shamsul, Putra Danish Aniq Niko Demus, Mohammad Syafiq Hamka, Nur Alisa Akma Salleh, Zulquezairy Yizairi, Aly Nurcartini Mohd Azhar dan Mohammad Darwisy Dasuki Dermasa yang bertanding dalam kategori Big Group Terbuka.

Dalam kategori Big Group Terbuka, D’STEPS adalah antara kumpulan finalis manakala kategori Duo/Trio Terbuka mara sehingga ke Final Round Line-Up tetapi kedua-duanya gagal ke podium.

“Apapun, penyertaan kami di MDC 2026 itu merupakan satu pengalaman berharga dalam usaha mengembangkan bakat muda, membina keyakinan serta membuka peluang kepada mereka untuk beraksi di pentas yang lebih besar,” kata Marhaine.

Beliau berterima kasih kepada lima kru iaitu Niko Demus Markus, Abi Asyraf Aji (koreografer), Sumarni Edison dan Kelvin Chaw Kay Yun  yang memainkan peranan dalam aspek teknikal, penyelarasan, logistik dan persiapan pasukan sepanjang kejohanan.

Sambil itu, Marhaine juga mengucapkan tahniah kepada sebuah lagi kumpulan dari Sabah, Illeagle Freedom (IEF) atas kejayaan muncul johan kategori Big Group Terbuka

Katanya, pencapaian tersebut turut menjadi satu kebanggaan buat Sabah dan mencerminkan bakat serta kekuatan komuniti tarian negeri ini di pentas kebangsaan.

“Kami berharap lebih ramai golongan muda, bukan sahaja dari Sabah tetapi seluruh Malaysia, akan melibatkan diri dalam seni dan persembahan budaya dalam pelbagai bentuk.

“Ini akan membantu memelihara sejarah, identiti dan warisan Malaysia serta membawa kepelbagaian budaya negara ke peringkat yang lebih luas,” katanya sambil berterima kasih kepada penaja, penyokong, rakan kerjasama dan individu yang telah menyumbang kepada penyertaan Sabah ke MDC 2026.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN