BERJAYA DITAHAN…Suspek bertanda X yang berjaya ditahan polis bersama dadah jenis syabu
PENAMPANG: Polis menahan seorang lelaki warga asing dan merampas dadah disyaki syabu seberat 52.55 gram bernilai kira-kira RM6,000 dalam operasi di Jalan Penampang Lama, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang Superintenden Sammy Newton berkata tangkapan itu dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Penampang kira-kira 11 malam, 22 Sept, hasil maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah.
Beliau berkata pemeriksaan terhadap suspek berusia 45 tahun itu menemukan satu paket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dalam simpanannya.
“Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek turut mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan, jika tidak dijatuhi hukuman mati, sebatan tidak kurang 12 kali jika disabitkan kesalahan.
Sammy berkata suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(A) akta sama kerana memasukkan dadah ke dalam badan, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.



