Datuk Wong Kii Yee (empat kanan) menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada ibu bapa pelajar cemerlang diiringi Yahya (lima kanan).
LABUAN: Presiden n Dewan Perniagaan Tionghua Labuan (LCCC), Datuk Wong Kii Yii menghulurkan sumbangan kepada dua pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2025 sebanyak RM1,000 setiap seorang,
Majlis penyerahan sumbangan itu telah diadakan dalam satu majlis rimgkas di Bilik Mesyuarat Jabatan Pendidikan Labuan, baru-baru ini.
Pelajar cemerlang yang menerima sumbangan itu alah Nur Atikah Sazwani dan Widya bin Arman, yang masing-masing memperoleh Gred Purata 4.00 dalam peperiksaan STPM Tahun 2025.
Kedua-dua pelajar berkenaan diwakili oleh ibu bapa masing-masing dalam majlis penyerahan sumbangan berkenaan.
Majlis berkenaan dihadiri Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan; Yahya Ahmad Puteh dan Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Imbran Yunus.
Turut hadir Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan, Kitli Beka dan Penolong Kanan Tingkatan Enam, Saminan Haji Sabtu.
Sumbangan wang tunai berjumlah RM2,000 secara keseluruhan itu mencerminkan keprihatinan pihak LCCC terhadap kecemerlangan akademik dan kebajikan pelajar yang bakal melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
Sumbangan berkenaan memperlihatkan peranan penting komuniti perniagaan dalam menyokong pembangunan pendidikan dan modal insan di Wilayah Persekutuan Labuan.
Datuk Wong Kee Yii berkata, pihak LCCC sentiasa komited untuk memberikan sumbangan kepada mana-mana pelajar Wilayah Persekutuan Labuan yang berjaya mencapai kecemerlangan dalam pertandingan kokurikulum di peringkat kebangsaan.
” Inisiatif ini diharapkan dapat menjadi suntikan semangat kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kejayaan serta mengharumkan nama Wilayah Persekutuan Labuan di persada kebangsaan”, katanya.
Dalam pada itu Jabatan Pendidikan Labuan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Datuk Wong Kee Yii serta Dewan Perniagaan Tionghua Labuan atas sumbangan yang diberikan.
Yahya berkata keprihatinan dan kemurahan hati pihak penyumbang diharapkan dapat menjadi contoh kepada pihak lain untuk bersama-sama menyokong kecemerlangan pendidikan serta kebajikan pelajar.
Beliau berharap agar kedua-dua pelajar cemerlang berkenaan dapat memanfaatkan peluang melanjutkan pengajian di universiti dengan sebaik-baiknya, mengekalkan kecemerlangan akademik serta menjadi insan yang berintegriti dan menyumbang kepada masyarakat.
Yahya turut menyeru agar pencapaian Nur Atikah Sazwani dan Widya Arman menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berusaha, meningkatkan motivasi pembelajaran dan menetapkan aspirasi pendidikan yang tinggi.
“Majlis penyerahan sumbangan ini diharapkan dapat memperkukuh hubungan strategik antara pihak pendidikan dengan komuniti perniagaan, di samping menyemarakkan budaya menghargai kecemerlangan akademik dan menyokong pembangunan generasi masa hadapan,”katanya.



