Dr Joachim (tengah) ketika hadir merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Pergerakan Pemuda PBS Kali Ke-41, hari ini.
KOTA KINABALU: Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam menyeru seluruh barisan Pemuda parti itu supaya memastikan proses pemilihan kepimpinan berlangsung dalam semangat setiakawan, perpaduan dan kekeluargaan, tanpa menjejaskan kesatuan parti.
Beliau berkata persaingan merebut jawatan dalam parti merupakan sebahagian daripada proses demokrasi, namun keputusan pemilihan perlu diterima dengan hati terbuka demi memastikan PBS terus bergerak sebagai satu pasukan.
“Bertandinglah dalam semangat setiakawan, perpaduan dan kekeluargaan. Kita mungkin menawarkan diri untuk jawatan yang sama dan mungkin mempunyai penyokong masing-masing, tetapi apabila proses pemilihan selesai, kita tetap berada dalam satu keluarga yang sama, keluarga besar PBS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Tahunan Pergerakan Pemuda PBS Kali Ke-41, hari ini.
Persidangan itu merupakan medan pemilihan kepimpinan Pergerakan Pemuda PBS bagi sesi 2026-2029, dengan pertandingan bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) melibatkan calon daripada beberapa kuota.
Joachim berkata perkembangan positif apabila ramai ahli Pemuda tampil menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon EXCO Pemuda PBS Pusat menunjukkan kesediaan generasi muda memikul tanggungjawab serta menyumbangkan tenaga dan pemikiran kepada perjuangan parti.
Beliau berkata penyertaan itu juga memperlihatkan keperluan untuk memastikan kesinambungan kepimpinan dan barisan pelapis parti pada masa hadapan.
“Saya amat gembira melihat pemilihan kali ini menyaksikan begitu ramai ahli Pemuda yang tampil menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon EXCO Pemuda PBS Pusat.
“Perkembangan ini sangat positif kerana ia menunjukkan masih ramai dalam kalangan generasi muda yang bersedia tampil ke hadapan, memikul tanggungjawab dan menyumbangkan tenaga serta pemikiran kepada perjuangan parti,” katanya.
Joachim turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Dr Christopher Mandut yang terus diberikan mandat menerajui Pergerakan Pemuda PBS Pusat sebagai Ketua Pemuda, selain tiga Timbalan Ketua Pemuda iaitu Stanly Leo, Louis Lai dan Khairol Majde Kalimin serta tiga Naib Ketua Pemuda yang turut mendapat mandat dalam pemilihan kali ini.
Beliau mengingatkan calon yang belum berjaya supaya meneruskan perjuangan dan memberikan sokongan kepada mereka yang memperoleh mandat, manakala mereka yang menang pula perlu menghulurkan tangan kepada rakan yang belum berjaya.
“Kerana akhirnya, bukan soal siapa yang menang atau siapa yang kalah yang paling utama. Yang jauh lebih penting ialah bagaimana kita semua dapat kembali berdiri bersama-sama, merapatkan saf dan menguatkan PBS,” katanya.
Joachim berkata kepimpinan baharu Pemuda PBS perlu membentuk pasukan yang kukuh, dinamik dan bersatu, selain berani membawa idea baharu tanpa mengabaikan sejarah, prinsip serta asas perjuangan parti.
Beliau berkata gabungan pengalaman kepimpinan sedia ada dengan tenaga baharu generasi muda mampu membantu memperkukuh organisasi serta membawa PBS ke hadapan.
Dalam pada itu, Joachim merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan, perwakilan dan ahli PBS atas kepercayaan serta sokongan yang diberikan kepadanya untuk meneruskan kepimpinan parti.
Katanya, kepercayaan itu merupakan satu amanah besar yang akan dilaksanakan bersama seluruh barisan kepimpinan dan anggota parti bagi memastikan perjuangan PBS terus diperkukuh.
“Kita mungkin datang daripada bahagian yang berbeza, latar belakang yang berbeza dan generasi yang berbeza, tetapi kita mempunyai satu matlamat yang sama untuk melihat PBS terus kuat, bersatu dan mampu memainkan peranan yang bermakna untuk rakyat dan negeri Sabah,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh perwakilan menerima keputusan pemilihan dengan hati terbuka dan kembali bersatu selepas proses berkenaan selesai.
“Bertandinglah sebagai sahabat, selesai bertanding kita kembali sebagai satu keluarga,” katanya.



