PENGHARGAAN……..Felecia menyampaikan Cenderakenangan kepada Datuk Jonathan diiringi sebahagian warga pendidik bersama para jemputan lain.
Oleh: Salwah Aramat
RANAU: Program Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) Madani anjuran bersama Pejabat Parlimen Ranau berjaya dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan St. Benedict di sini, hari ini, dengan penyertaan aktif warga sekolah serta sokongan komuniti setempat.
Program berkenaan bertujuan memperkasa bidang Sains, Teknologi dan Inovasi dalam kalangan murid sejajar aspirasi Malaysia Madani yang menekankan pemerkasaan pendidikan berteraskan ilmu, kreativiti dan inovasi sejak di bangku sekolah.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti diadakan termasuk pameran projek dan inovasi hasil cetusan idea murid terpilih. Inisiatif itu membuka ruang kepada murid mempamerkan kreativiti, kemahiran berfikir secara kritis serta kebolehan menyelesaikan masalah melalui pendekatan pembelajaran berasaskan projek.
Majlis perasmian disempurnakan Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin yang dalam ucapannya menegaskan kepentingan penguasaan STI dalam mendepani cabaran era digital serta ekonomi berasaskan pengetahuan.
Beliau berkata pendedahan awal terhadap aplikasi teknologi dalam kehidupan seharian mampu melahirkan generasi berdaya saing, kreatif dan adaptif terhadap perkembangan pesat dunia sains serta teknologi.

KENANGAN……..Kumpulan tempat pertama memperlihatkan Sijil Penyertaan mereka sempat merakam gambar bersama Datuk Jonathan dan dua yang lain.
“Usaha memperkukuh minat murid terhadap bidang STI perlu digembleng secara berterusan dengan sokongan guru dan ibu bapa, khususnya di peringkat sekolah rendah sebagai asas pembentukan modal insan berkualiti,” katanya.
Program itu turut diserikan kehadiran Guru SK St. Anthony Tenom merangkap Jurulatih Utama Negeri Subjek Reka Bentuk dan Teknologi, Muhammad Firdaus Muhammad Puad; Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, Linus Madies; serta pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Ranau, Hallsen Justin yang bertindak sebagai juri pertandingan.
Turut hadir Guru Besar SK St. Benedict, Felecia Gabriel dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Sylvester Thomas Liansim.
Pihak sekolah menyifatkan penganjuran program berimpak tinggi itu sebagai platform penting dalam memupuk budaya inovasi dan pemikiran saintifik dalam kalangan murid sejak peringkat awal persekolahan.



