Jeffery & Yong
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan semua parti komponen wajib menggunakan satu lambang gabungan dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah tahun ini bagi memastikan kesatuan kekal terpelihara.
Ketegasan itu dinyatakan dalam Mesyuarat Majlis Presiden GRS yang dipengerusikan Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Haji Noor pada 1 Oktober lalu. Mesyuarat hampir dua jam itu turut dihadiri semua Presiden parti komponen serta Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun.
Antara agenda utama ialah persiapan gerak kerja PRN17 dan rundingan agihan kerusi bersama Pakatan Harapan (PH).
Namun, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan dan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee menyatakan hasrat untuk menggunakan lambang parti masing-masing dalam PRN akan datang.
Tindakan itu membuka kemungkinan kedua-dua parti berkenaan bertanding di kerusi yang turut ditandingi calon PH.
Menurut Masidi, mesyuarat memutuskan bahawa mana-mana parti komponen yang memilih untuk bertanding menggunakan lambang sendiri dianggap telah keluar daripada GRS.
“Oleh itu, calon-calon daripada parti tersebut tidak lagi mewakili GRS dalam PRN17,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Hajiji turut mengingatkan bahawa semua komponen perlu menghormati persetujuan kerjasama yang telah diumumkan bersama PH sebelum ini.
“Atas prinsip kesatuan, GRS harus bergerak sebagai satu entiti dengan semua calon menggunakan lambang GRS,” jelasnya.
Dengan keputusan itu, keanggotaan STAR dan SAPP dalam GRS terbatal secara automatik.
Masidi memaklumkan bahawa Presiden Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Cinta Sabah (PCS) menghormati pendirian STAR dan SAPP untuk bertanding secara solo.
Pada masa sama, STAR dan SAPP turut menghormati keputusan parti-parti lain yang kekal bersama GRS dan meneruskan kerjasama strategik dengan PH.
“Mesyuarat berlangsung dalam suasana mesra, ikhlas dan berterus terang. Semua pimpinan akur dengan keputusan yang dibuat secara musyawarah serta meraikan perbezaan pandangan dalam semangat demokrasi yang matang.
“GRS akan terus memperkasakan gerak kerja dan memantapkan strategi bagi menghadapi PRN17 dengan komitmen penuh kepada kestabilan dan kesejahteraan negeri Sabah,” katanya.



