SEMPORNA: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini menyampaikan sumbangan Wakalah Zakat Korporat (WZK) bernilai RM37,000 kepada enam pusat tahfiz serta persatuan dan pertubuhan kebajikan di sini sebagai komitmen berterusan SSM dalam menyantuni golongan yang memerlukan.
Sumbangan WZK ini bertujuan untuk memberikan bantuan dan sokongan kewangan kepada pelajar asnaf yang mengikuti pengajian di pusat-pusat tahfiz berkenaan agar mereka dapat meneruskan pembelajaran dengan lebih terjamin dan kondusif, di samping meringankan bebanan yang ditanggung oleh golongan kurang berkemampuan.
Daripada jumlah keseluruhan sumbangan, sebanyak RM6,000 telah disumbangkan kepada Maahad Tahfiz Assohabah dan Pusat Tahfiz Sahabat Prihatin Hj Salasani. Manakala, sebanyak RM5,000 disalurkan kepada Persatuan Penduduk Kampung Terusan Baru, Komuniti Kampung Gusung Melanta, Persatuan Komuniti Kampung Bum-Bum, Pertubuhan Prihatin Komuniti Kg Sri Melanu Semporna dan Pertubuhan Komuniti Madani Kg Senang Hati Semporna.
Penyerahan sumbangan ini telah disempurnakan oleh Tuan Haji Ahmad Sabki Yusof, Pengerusi SSM dalam Majlis Serahan Wakalah Zakat Korporat SSM Sempena Program Sentuhan Komuniti.
Dalam ucapannya, beliau berkata SSM sentiasa komited dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat melalui pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.
“Komitmen ini dizahirkan menerusi program yang berfokus kepada pembangunan komuniti, pemerkasaan ekonomi, kelestarian alam sekitar serta sokongan terhadap golongan yang memerlukan. Melalui pendekatan yang inklusif dan berimpak tinggi, SSM terus memainkan peranan aktif sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab dalam menyumbang kepada kesejahteraan sosial masyarakat” katanya.
Sepanjang tahun 2025, SSM telah mengagihkan lebih RM7.4 juta Wakalah Zakat Korporat SSM kepada 12,886 penerima asnaf di seluruh negara. Dalam tempoh yang sama, SSM juga telah mengagihkan lebih RM560,000 melalui program CSR kepada 796 penerima yang memerlukan.



