CEMERLANG….Ismail bersama murid cemerlang SPM 2021 Evania Liew Hui Chen
LABUAN:SMK Pantai mencipta sejarah terbaik apabila mencapai keputusan terbaik SPM 2021 dalam tempoh enam tahun yang merekodkan 96.55 peratus lulus berbanding 92.66% tahun 2020 dan lonjakan Gred Purata Sekolah (GPS) 4.44 (berbanding 5.34 tahun 2020).
Lebih mengembirakan lagi, keputusan SPM 2021 menyaksikan seorang pelajarnya Evinia Liew mencatatkan sejarah apabila mendapat semua A iaitu 9A+, selepas tiga tahun sekolah ini tiada calon yang mencatatkan lulus semua A.
Lebih memberangsangkan lagi seramai 18 pelajar yang mengambil peperiksaan SPM 2021 berjaya memperolehi keputusan 6A ke atas berbanding hanya 5 orang pada SPM tahun 2020.
Atas kejayaan yang cemerlang itu, Pengetua SMK Pantai, Ismail bin Abdullah merakamkan ucapan tahniah kepada mantan pengetua SMK Pantai, Sahar Misron dan Norazita Md Nor yang telah memimpin guru, murid dan staf SMK Pantai dengan cemerlang.
“Tahniah juga kepada semua guru, PIBG, ibu bapa dan warga SMK Pantai sehingga mencapai keputusan cemerlang ini” katanya dalam satu kenyataan di sini, pagi kelmarin.

TERBAIK….Ismail (atas empat dari kanan) dan Penolong-Penolong Kanan SMK Pantai bersama 18 orang calon SPM SMK Pantai yang mencapai 6A ke atas.
Menurut Ismail, beliau hanya sempat dua bulan bersama calon-calon SPM 2021 sejak memulakan tugas pada 7 Februari 2022 dan cuma sempat menyumbang semangat, motivasi saat akhir, sentuhan psikologi dan doa yang berterusan.
Sementara itu, Ismail berazam bersama guru-guru dan warga SMK Pantai meneruskan usaha untuk memastikan kecemerlangan ini berterusan.
Jelasnya Evania Liew Hui Chen merupakan seorang murid yang cemerlang dan seimbang dalam pencapaian kurikulum, kokurikulum dan sahsiah.
“Selama bersekolah di SMK Pantai (2017-2022) pelbagai kejayaan peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa telah dicapai berkat disiplin, komitmen dan ketekunan yang sangat tinggi.
Antara pencapaian-pencapaian beliau ialah menjadi johan Pertandingan Memasak Chef Remaja Sekolah Menengah 2017 Peringkat Negeri tajaan Maggi, johan Pertandingan Memasak Chef Remaja Sekolah Menengah 2017 Peringkat Kebangsaan tajaan Maggi
Dan Program Pengantarabangasaan Kulinari Di Sekolah Tinggi Pariwisata, Bandung, Indonesia 2017.
Selain itu Evania juga pernah menjadi johan Pertandingan Perbarisan MSSM WPL 2018, johan Pertandingan Aktiviti Pendidikan Luar Secara Rakaman Video Acara Masakan Rimba Peringkat Negeri 2021, serta menduduki tempat ketiga Pertandingan Tokoh Nilam Bahasa Melayu Sekolah Menengah Peringkat Negeri 2021 disamping beberapa lagi kejayaan yang telah dicapai beliau sekaligus telah mengharumkan nama sekolah.



