Superintenden Sammy (Kiri) turut turun padang bersama Skuad Ihsan Madani membersihkan lumpur
PENAMPANG: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang hari ini melaksanakan program gotong-royong pasca banjir di Kampung Sarapung Kolopis sebagai sebahagian daripada inisiatif Skuad Ihsan Madani, selaras dengan seruan kerajaan untuk membantu masyarakat terkesan bencana.
Program yang bermula seawal jam 8 pagi itu disertai lebih 80 pegawai dan anggota IPD Penampang termasuk Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton, Timbalan Ketua Polis Daerah DSP Erwansyah Abdul Basir serta Pengerusi PERKEP Penampang, Suzey Michael Lajam.
Aktiviti gotong-royong tertumpu kepada kerja pembersihan kawasan kediaman milik Geofrey Golingai yang terjejas dan dipenuhi selut lumpur akibat banjir dan tanah runtuh baru-baru ini.

Skuad Ihsan Madani membersihkan air lumpur dari dalam rumah mangsa banjir
Menurut Sammy, inisiatif tersebut dijalankan susulan permohonan bantuan pembersihan yang disalurkan melalui media sosial Facebook, sekali gus mencerminkan keprihatinan pihak polis terhadap masyarakat yang memerlukan.
“Program ini bukan sahaja bertujuan meringankan beban mangsa, malah memperkukuhkan semangat kebersamaan antara polis dan masyarakat, selaras dengan konsep ‘Polis & Masyarakat, Berpisah Tiada’,” katanya dalam kenyataan pada Selasa..
Beliau menegaskan IPD Penampang komited memastikan keselamatan, kesejahteraan dan kebajikan masyarakat sentiasa terpelihara serta akan meneruskan usaha membantu penduduk di daerah Penampang dan Putatan yang terkesan dengan bencana.



