25.5 C
Kota Kinabalu
Selasa, Mei 13, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

SK Lubok Temiang sasar 5 Terbaik

CIKGU…..Juanawati sedang mengajar anak-anaknya di rumah.

LABUAN: Sekolah Kebangsaan Lubok Temiang (SKLT) berazam  mahu menjadi 5 sekolah terbaik di Wilayah Persekutuan Labuan pada tahun ini sekaligus  meningkatkan kualiti guru selaras dengan Transformasi Sekolah 2025 (TS25).

Guru Besarnya, Haji Adam Abdul Rahim berkata, selain itu sekolah ini juga memfokaskan hala tuju sekolah  dengan meningkatkan kemenjadian murid dari segi sahsiah dan tingkah laku.

“Hala tuju SK Lubok Temiang pada tahun ini ialah meningkatkan prestasi murid dalam Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan UPSR.

“Memperkasakan sekolah ke arah sekolah TS25 yang kondusif dan bermaklumat,”katanya.

Haji Adam, Juanawati, Hasnan

Beliau yang mula bertugas di SKLT pada 6 Mac 2019 mahu amalan dan pembudayaan Professional Learning Community (PLC) dan Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21) dalam kalangan warga sekolah dan meningkatkan hubungan dan pelibatan komuniti dengan pihak sekolah.

Tambahnya, hala tuju seterusnya ialah untuk melahirkan lebih ramai Senior Leader Team (SLT) dan Middle Leader Team (MLT) yang kompeten dan beraspirasi tinggi serta mempraktikkan amalan terbaik dan inovasi dalam kalangan warga sekolah.

Mengenai pelaksanaan Rancangan Pengajaran Harian (e-RPH) pada tahun ini, Haji Adam berkata SKLT mula menggunakan e-RPH selari dengan situasi dunia digital yang semakin rancak sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga melalui platform Delima yang dibangunkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Pada masa sama, beliau mahu semasa Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) PKP di SKLT, guru komited dengan tanggungjawab, amanah dan sentiasa bersedia.

Manakala ibu bapa perlu komitmen dan membantu anak-anak mereka di rumah secara berterusan.

Murid pula katanya, kekal bersemangat dan terus tekun untuk belajar dari rumah.

Haji Adam berharap pandemik COVID-19 ini tidak menghalang anak-anak belajar dan guru mengajar.

“Pembelajaran berterusan berlaku seperti biasa tanpa ada ketirisan.

 “Memaksimumkan potensi guru dan murid menerusi pembelajaran maya (pdpr),”katanya.

Sementara itu, Penyelaras PdPR SKLT 2021, Hasnan Mohd Saad berkata kaedah pelaksanaan PdPR semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sekolah Kebangsaan Lubok Temiang (SKLT) ditambahbaik dan diperhalusi setelah mengambil kira pengalaman pelaksanaan PdPR tahun lalu.

Katanya, ibu bapa perlu terbuka dalam menangani isu pembelajaran norma baharu ini dan menerima bahawa ini adalah merupakan sebahagian perubahan cara penyampaian pendidikan berorientasikan jalur lebar.

Hasnan berkata pelaksanaan secara dalam talian dan luar talian digunakan sepenuhnya berdasarkan keupayaan murid mengikuti pdpr dengan berkesan.

Beliau berkata, kaedah pentaksiran sepanjang masa seperti pentaksiran bilik darjah digunakan sebaik sahaja selesai sesuatu kemahiran disampaikan oleh guru.

Ujarnya, murid diuji sejauhmana keupayaan mereka menguasainya dan juga membantu guru melaksanakan pendekatan terbaik dalam mengurus cara penyampaian PdPR.

“Setakat ini jadual PdPR dilaksanakan di SKLT dengan merujuk surat pekeliling ikhtisas 1995 jam mata kredit selain keselesaan guru serta ibu bapa turut diambil kira.

“Jadual PdPR tidak diharap tidak membebankan terutama kepada ibu bapa yang mempunyai anak ramai dan berkongsi peranti sebagai alat pembelajaran utama,”katanya.

Sementara itu, salah seorang guru SK Lubok Temiang, Cikgu Juanawati Omar Junit selaku berkata ibu bapa perlu beri komitmen sepenuhnya dalam membantu plaksanaan PdPR.

Katanya, sebagai guru dan ibu, beliau perlu bijak merancang dan membahagikan masa agar anak-anak dan murid tidak terjejas.

Ketika ditanya apa kekangan yang dihadapi, beliau berkata tidak semua orang mampu untuk menyediakan setiap anak dengan telefon masing-masing.

Katanya, anak-anak perlu bergilir-gilir menyemak tugasan yang diberikan oleh guru-guru.

Berkaitan persediaan yang dilakukan bagi memastikan anak-anak mengikuti PdPR, Juanawati akan pastikan anak-anak bangun awal seperti sesi persekolahan.

“Mulakan dengan sarapan awal pagi. Pastikan anak-anak melaksanakan tugasan PdPR mengikut jadual yang ditetapkan oleh sekolah agar kerja tidak tertangguh.

“Bahan-bahan rujukan disediakan untuk memudahkan proses pembelajaran,”tambah beliau penuh harapan.

Sementara itu, seorang ibu kepada tiga orang yang bersekolah di SKLT, Herlina Amat Sait berkata masalah yang dihadapi anak-anak yang belajar di rumah ialah mereka terpaksa berkongsi telefon untuk belajar.

“Mereka juga kurang fokus sebab adik-adik yang belum bersekolah turut serta,”katanya yang juga seorang suri rumah,”katanya.

Bagaimanapun beliau sentiasa menasihatkan anak-anaknya Mohd Haikal Matnor (Tahun 6 Alim), Nur Asyiqin Matnor (Tahun 1 Arif) dan Muhammad Hanif Matnor (PraAlim) supaya sentiasa mematuhi arahan guru-guru dengan menyiapkan tugasan yang diberikan.

Haji Adam dibantu oleh Penolong Kanan Pentadbiran, Zubaidah Yusof @ Yusup, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Sunah Tahir dan Penolong Kanan Kokurikulum, Rahman Jaafar.

Pada masa ini, SK Lubok Temiang mempunyai 44 orang guru dengan 650 murid dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) seramai 7 orang.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN