Robert (tengah)bergambar bersama Pegawai dan Kakitangan JKNS yang menerima anugerah pada majlis itu.
KOTA KINABALU: Sistem SkyTrain yang melibatkan pembangunan sistem keretapi masih dalam peringkat perbincangan antara pihak Kerajaan Negeri dengan pihak pelabur.
Timbalan Ketua Menteri Dato‘ Sri Bung Moktar Radin berkata, rancangan pembinaan SkyTrain ini dalam dua fasa masing-masing memerlukan tempoh penyiapan selama tiga tahun.
Katanya, fasa pertama dengan jarak 10.5 kilometer menghubungkan KKIA ke Pusat Bandaraya Kota Kinabalu dan Jesselton New City, sementara fasa kedua dengan jarak 15.0 kilometer menghubungkan Jesselton New City ke One Borneo.
Bung yang juga Menteri Kerja Raya berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Pengiktirafan dan Penghargaan Untuk Kakitangan Tahun 2019 dan 2020 Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS)di salah sebuah hotel terkemuka di sini hari ini.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik @ Nordin.
“Sama-sama lah berdoa akan segala perbincangan yang sedang berlangsung melibatkan semua pihak yang berkepentingan dapat berjalan dengan baik dan lancar demi kebaikan dan manfaat rakyat dan negeri ini secara keseluruhannya.
“Selain daripada itu kita juga akan terus berusaha supaya kerajaan persekutuan terus memberikan tumpuan dan bantuan khusus kepada pembangunan infrastruktur pengangkutan di negeri ini, sebagaimana mereka memberi bantuan dan tumpuan kepada infrastruktur jalanraya seperti projek Pan-Borneo, infrastruktur bekalan air dan infrastruktur bekalan elektrik” katanya.
Bung berkata, walaupun perkara ini memerlukan kerja kuat yang berterusan, tetapi demi rakyat negeri Sabah, beliau bersedia untuk menggalas tanggungjawab yang berat ini.
Katanya, antara usaha-usaha awal yang telah, sedang dan akan dilaksanakan adalah inisiatif-inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) sebagaimana yang disebut oleh Tuan di mana JKNS diberi peruntukan RM70.0 juta.
“Walaupun kelihatannya agar kecil dan tidak membawa impak besar yang benar-benar diharapkan di peringkat kepimpinan negeri, tetapi saya percaya perlaksanaan projek-projek ini bakal membuka mata banyak pihak untuk melabur dalam pembangunan sektor pengangkutan di negeri Sabah” jelasnya.
Bung berkata, pada hari ini, di pihak Kerajaan dan Penjawat Awam sedang dan akan berhadapan dengan hari-hari dan tahun-tahun yang amat mencabar, salah satunya adalah disebabkan kita baharu sahaja keluar situasi pandemic covid-19 yang amat kritikal.
“Walaupun kita masih belum pulih sepenuhnya daripada ancaman yang bersifat global ini, tetapi petunjuk-petunjuk ekonomi yang kita perolehi mendapati bahawa kita sedang menuju kepada pemulihan ekonomi pada kadar pertumbuhan 4.0 – 4.5% pada tahun hadapan” katanya.
Tambahnya, kerancakan aktiviti ekonomi bakal kita rasai semula dalam jangka waktu yang singkat, dan tentulah kerancakan aktiviti ekonomi ini memerlukan segala faktor-faktor penggalak, umpamanya sistem pengangkutan yang baik dan cekap bagi memastikan ianya terus meningkat dan terus berkembang.
“Inilah cabaran yang perlu kita sama-sama perlu saling bantu-membantu dan saling melengkapi antara satu sama lain, demi kemajuan dan pembangunan negeri Sabah yang kita cintai ini” ujarnya.
Menurur Bung, satu lagi cabaran yang masyarakat hadapi adalah berkenaan dengan ekspektasi pelanggan yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.
Katanya, ekspektasi pelanggan yang semakin meningkat ini turut dikaitkan dengan kecenderungan pihak-pihak tertentu untuk membandingkan tahap kualiti perkhidmatan pengangkutan di negeri Sabah dengan kualiti perkhidmatan yang sama di semenanjung Malaysia.
Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Sabah Datuk Haji Jasmin Julpin, Pengarah Jabatan Keretapi Negeri Sabah Leonard Stephen Poyong dan Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Kerja Raya Sabah (KKRS) dan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS).