32 C
Kota Kinabalu
Jumaat, Februari 23, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

SESB mensasarkan liputan bekalan elektrik mencapai 99.9% di negeri ini menjelang akhir tahun 2025. 

Arthur (empat dari kanan)menyampai sumbangan SESB kepada SK Kampung Bahagia Nabawan untuk pembaikan struktur bangunan sekolah dan juga peralatan pembelajaran untuk murid-murid sekolah. 

NABAWAN:Kerajaan melalui SESB mensasarkan liputan bekalan elektrik mencapai 99.9% di negeri ini menjelang akhir tahun 2025. 

Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, dalam memastikan liputan bekalan elektrik dinikmati oleh semua lapisan masyarakat terutama masyarakat luar bandar, satu Laporan Perancangan Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) bagi tempoh lima tahun telah dirangka.

Katanya, laporan ini merangkumi 318 kampung dengan bilangan rumah sebanyak 16,464 buah rumah yang masih belum mempunyai bekalan elektrik.

“Pelbagai pihak terlibat dalam menyalurkan maklumat dalam penyediaan laporan ini seperti Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah, Kementerian Pembangunan Luar Bandar Negeri Sabah dan Pejabat Daerah” katanya semasa berucap 

merasmikan Majlis Penyerahan Sumbangan Ceria Ke Sekolah (CKS)SESB Peringkat Parlimen Pensiangan dan Penyerahan Sumbangan Sekolah Anak Angkat SESB di dewan serbaguna Majlis Daerah di sini hari ini.

Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, perlaksanaan program Bekalan Elektrik Luar Bandar secara dua kaedah iaitu sambungan talian grid atau pembinaan sistem alternatif, yang akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh lima tahun bermula tahun 2021 sehingga 2025.

“Bagi kawasan N.38 Nabawan, sebanyak 66 kampung melibatkan 982 buah rumah telah dikenalpasti masih belum mempunyai bekalan elektrik. Kampung-kampung tersebut telah dicadangkan untuk perlaksanaan program Bekalan Elektrik Luar Bandar secara sistem alternative memandangkan kedudukan kampung adalah terletak jauh dari sistem talian” katanya.

Jelasnya, senarai kampung terlibat telah diserahkan kepada KPLB Persekutuan bagi tujuan kajian kesesuaian tapak perlaksanaan sistem alternatif di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas.

Pada program itu seramai 200 pelajar dari sekolah rendah yang dipilih menerima sumbangan set persekolahan iaitu beg sekolah dan alat tulis serta wang saku berjumlah RM50 setiap pelajar daripada pihak SESB. 

Menyentuh tentang Community Social Responsibility (CSR)Arthur berkata, ianya bukanlah satu perkara baru di Malaysia. Sejak Rancangan Malaysia ke Sembilan (RMK-9), Kerajaan telah menekankan kerjasama erat di antara sektor korporat dan kerajaan dalam usaha mencapai keseimbangan sosioekonomi Negara. 

Katanya lagi, selaras dengan hasrat Kerajaan bagi memastikan ‘tiada yang tertinggal’ sektor korporat diminta untuk turut berada di barisan hadapan dan seiring dengan pihak kerajaan bagi memastikan kesejahteraan masyarakat terbela dan tidak sahaja tergalas dibahu sebelah pihak semata-mata.

“Saya yakin langkah SESB ‘memberi semula kepada masyarakat’ akan memberi impak yang positif kepada anak-anak bagi mempersiapkan diri dalam pembelajaran di sekolah. 

Saya percaya bahawa program Tanggungjawab Sosial Korporat ini dapat membantu mensejahterakan kehidupan rakyat tanpa mengira kaum.

Melalui program seumpama ini juga, kita dapat mengeratkan lagi hubungan syarikat-syarikat korporat dengan masyarakat setempat” ujarnya.

Beliau juga berharap agar usaha seperti ini tidak dilihat sebagai satu konsep bermusim dan tidak terhad kepada sumbangan kemanusiaan berbentuk wang ringgit dan harta benda tetapi merangkumi sumbangan masa serta tenaga.

Arthur (berdiri belakang tengah)bersama Pegawai Daerah Nabawan Peter Jonu (dua dari kanan), PPM Nabawan Deckson Andipai (dua dari kiri), Pengurus-Pengurus Kanan SESB dan guru-guru yang hadir bergambar bersama sebahagian murid yang menerima sumbangan.

“Dalam kita berlumba-lumba melaksanakan pembangunan untuk negara dan negeri, kita jangan lupa masyarakat di sekeliling kerana 

masih ada lagi saudara kita dan golongan terpinggir hidup dalam kesusahan dan memerlukan bantuan kita semua” tambahnya.

Pada masa sama Arthur merakamkan ucapan syabas kepada SESB yang tidak hanya memberikan tumpuan bantuan kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan, tetapi juga memberikan perhatian dalam membantu membangun sekolah-sekolah daif di negeri Sabah.

Katanya, SESB turut mengadakan Program Sekolah Angkat dan telah memilih beberapa buah sekolah di seluruh Sabah yang memerlukan bantuan dari segi pembaikan struktur bangunan sekolah dan juga peralatan pembelajaran untuk murid-murid sekolah. 

Beliau juga ucapkan tahniah Sekolah Kebangsaan Kampung Bahagia, Nabawan kerana terpilih sebagai Sekolah Angkat SESB pada tahun ini.

“Semoga melalui bantuan yang diberikan oleh pihak SESB ini akan dapat membantu pihak sekolah menyediakan kemudahan pembelajaran yang lebih kondusif kepada anak-anak kita.

Harapan saya agar anak-anak kita akan terus berusaha dan tekun menimba ilmu agar menjadi insan yang berguna untuk agama, bangsa dan negara”  katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN