Seorang pelajar Madrasah maut dalam kemalangan jalanraya.

Oleh: Aduka Jasnin Suman

Keadaan Produa Alza di lokasi kejadian

RANAU: Seorang pelajar Madrasah maut apabila kenderaan jenis Produa Alza yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 2, Jalan Ranau – Tambunan dekat Kampung Kiaburi di sini pada petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Sammy Newton berkata, mangsa lelaki tempatan berumur 15 Tahun dari Kg.Kilimu disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

DSP Sammy Newton

Katanya, dalam kejadian lebih-kurang jam 3.30 petang, mangsa dikatakan memandu dari arah jalan Tambunan bersama seorang lagi penumpang.

“Tiba di lokasi kejadian, mangsa yang dipercayai memandu dengan laju telah hilang kawalan lalu terbabas masuk ke lorong bertentangan sebelum melanggar lereng bukit di sebelah kanan jalan.

“Kenderaan seterusnya terpusing sehingga menyebabkan pemandu dan penumpang tercampak keluar melalui cermin penumpang hadapan.

“Mangsa dipercayai tercampak keluar sebelum dilanggar sebuah kenderaan lain jenis Perodua Viva yang datang dari arah bertentangan.

“Pemandu Viva cuba untuk mengelak namun tidak sempat bebuat demikian kerana jarak yang terlalu dekat,” katanya dalam satu kenyataan media kemarin.

Menurutnya, akibat daripada kemalangan tersebut mangsa meninggal dunia ditempat kejadian sebelum dibawa ke bahagian Forensik Hospital Ranau untuk tujuan bedah siasat .

Sementara itu, penumpang Produa Alza hanya mengalami kecederaan ringan dan turut dirawat di hospital yang sama, manakala pemandu Produa Viva tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam pada itu, DSP Sammy menasihatkan pengguna jalanraya agar sentiasa berhati-hati ketika memandu atau menunggang motosikal.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa agar memantau pergerakan setiap anak dengan tidak membenarkan mereka memandu atau menunggang tanpa lesen yang sah.