PENGHARGAAN……..Majus (tiga kiri) menyampaikan ‘T’-Shirt kepada Jonathan sempena program tersebut.
Oleh: Salwah Aramat & Editor
RANAU: Semangat patriotisme, perpaduan dan kecintaan terhadap negara terus disemarakkan menerusi Program Semarak Merdeka yang berlangsung selama dua hari, 12 hingga 13 September lepas, melibatkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat di daerah ini.
Program anjuran bersama Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PPPPPM) Cawangan Ranau, Persatuan Pesara Guru Ranau (PEPEGURA), Mahkamah Anak Negeri (MAN) Daerah Ranau dan RFWDC-KRS 4×4 Ranau itu turut menampilkan konvoi kenderaan merentasi beberapa kawasan luar bandar.
Peserta berkumpul seawal 8 pagi di Tapak Tamu Bulanan Kampung Sinarut sebelum menerima taklimat konvoi yang disampaikan Cikgu Sawalin Zakaria, manakala pelepasan konvoi disempurnakan Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin yang turut merasmikan program berkenaan.
Dalam ucapan perasmiannya, Jonathan berkata program seumpama itu bukan sekadar aktiviti konvoi, sebaliknya menjadi wadah untuk menyemarakkan semangat patriotisme, menghayati erti kemerdekaan serta mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar.

PELEPASAN……..Datuk Jonathan melakukan upacara pelepasan Konvoi Merdeka diiringi para peserta yang mengambil bahagian.
Beliau berkata kemerdekaan yang dinikmati hari ini merupakan hasil pengorbanan generasi terdahulu yang perlu dihargai, manakala generasi muda perlu diberi kefahaman mengenai sejarah negara, kepentingan perpaduan dan tanggungjawab bersama dalam mengekalkan keharmonian.
Menurut beliau, penglibatan pelbagai kelompok masyarakat dalam program itu membuktikan semangat kemerdekaan boleh diterjemahkan melalui aktiviti yang mendekatkan rakyat, selain memberi peluang kepada peserta mengenali kehidupan, budaya serta keadaan masyarakat pedalaman yang dikunjungi.
Sementara itu, Pengerusi penganjur Majus Munsing berkata perjalanan hari pertama melibatkan beberapa kampung termasuk Kampung Lohan, Kampung Perancangan, Kampung Timbua, Kampung Kepuakan, Kampung Malinsau, Kampung Sinurai dan Kampung Karagasan sebelum konvoi berakhir di Kampung Kaingaran.
Beliau berkata Kembara Merdeka itu membawa mesej penghayatan terhadap kemerdekaan dan pengukuhan silaturahim, selain membuka ruang kepada peserta berkongsi pengalaman serta nilai kehidupan bersama masyarakat yang ditemui sepanjang perjalanan.
Majus berkata semangat khidmat kepada masyarakat tidak seharusnya terhenti selepas seseorang bersara daripada perkhidmatan, sebaliknya pengalaman, pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki masih boleh disumbangkan kepada generasi seterusnya.
Pada hari kedua, program diteruskan dengan aktiviti senamrobik pada 7 pagi sebelum konvoi bergerak ke Kampung Tibabar pada 10 pagi dan seterusnya menuju Kampung Pinawantai yang menjadi lokasi penangguhan konvoi, sekali gus menandakan berakhirnya perjalanan dua hari berkenaan.
Program berkenaan turut memperkukuh hubungan antara pendidik, pesara guru, kelab permotoran dan masyarakat kampung menerusi semangat “Merdeka Bersama Rakyat”, di samping menyuburkan nilai perpaduan, kebersamaan dan kecintaan terhadap Malaysia.



