Rozman (tiga dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada Shafie selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Parti Warisan Bahagian Labuan sambil diperhatikan oleh pemimpin parti itu
LABUAN:Datuk Rozman Isli kekal menyandang jawatan Ketua Warisan Bahagian Labuan selepas beliau menang tanpa bertanding jawatan itu bagi sesi 2026-2029.
Mantan Ahli Parlimen dua penggal itu tidak dicabar pada sesi pemilihan parti itu pada Mesyuarat Agung Tahunan Parti Warisan Bahagian Labuan yang diadakan di Dewan Tadika Chi Wha di sini pada Ahad.
Turut menang tidak bertanding pada pemilihan itu Timbalan Ketua Warisan dan Naib Ketua Warisan serta tiga ketua sayap parti itu.
Timbalan Ketua Bahagian disandang oleh Haji Chemat Haji Mustapha yang sebelum ini dilantik sebagai Ketua Penerangan Parti Warisan Bahagian Labuan dan Naib Ketua Bahagian kekal disandang oleh Tan Soon Kiat.
Manakala tiga lagi ketua sayap yang menang tanpa berlakunya pertandingan ialah Ketua Wanita kekal dipeggang oleh Aliah Atar, Ketua Wira, Mohd Nazri Jumaien dan Ketua Wirawati disandang Rabhiyatul Mardiah Abdullah.
Sementara itu bagi jawatan Setiausaha, Bendahari dan Ketua Penerangan Bahagian akan diputuskan pada mesyuarat pertama parti itu yang akan diadakan dalam waktu terdekat.
Terdahulu majlis Perasmian Persidangan Tahunan parti itu telah disempurnakan oleh Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Panglima Shafie Apdal.
Dianggarkan lebih 700 ahli Warisan termasuk pemimpin masyakarat, ketua kampung hadir pada persidangan itu.



