Penguatkuasa KPDN Labuan ketika melakukan pemeriksaan di kedai alat permainan tersebut
LABUAN: Tindakan menawarkan harga promosi kepada pengguna tanpa mengemukakan Notis Jualan Murah terlebih dahulu membawa padah kepada pengusaha kedai alat permainan apabila dikenakan kompaun oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan.
Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Labuan, Junaidah Arbain berkata, kesalahan itu dikesan ketika pemeriksaan dijalankan oleh sepasukan pegawai penguatkuasa KPDN terhadap sebuah premis perniagaan di Kompleks Ujana Kewangan di sini, pada Ahad.
“Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan sedang mengadakan promosi jualan murah, namun gagal mengemukakan Notis Jualan Murah terlebih dahulu dibawah Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730].
‘Susulan ketidakpatuhan tersebut, tindakan kompaun telah dikenakan terhadap pengusaha premis berkenaan” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Junaidah berkata, jika sabit kesalahan di bawah Akta 730, individu berkenaan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi tiga (3) tahun atau kedua-duanya.
Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda boleh dikenakan sehingga RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima (5) tahun atau kedua-duanya.
Manakala bagi pertubuhan perbadanan pula, sabitan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000, seterusnya bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda boleh mencecah sehingga RM1,000,000.
KPDN Labuan mengingatkan semua peniaga yang ingin melakaksanakan jualan murah (promosi) perlu terlebih dahulu mengemukan Notis Jualan Murah bagi memastikan jualan murah dilaksanakan secara teratur dan telus serta maklumat harga yang ditawarkan kepada pengguna tidak mengelirukan.



