ADVERTISEMENTspot_img

UMSKAL terima 447 pelajar baharu

Prof Dr. Shamsul Bahari bersama Prof Dr Geoffery, Dr Nooralisa dan Sharifah beramah mesra bersama pelajar baharu sesi 2026-2027 di Dewan Utama UMSKAL.

LABUAN: Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) menerima 447 pelajar baharu membabitkan 253 pelajsr dari Sabah, 127 dari Semenanjung Malsysia, 57 pelajar dari Sarawak dan selebihnya dari Wilayah Persekutuan Labuan.

Pengarah UMSKAL Prof. Dr Shamsul Bahari Shamsudin berkata daripada jumlah itu seramai 328 pelajar akan mengikuti pengajian di Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) dan 119 lagi di Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI).

Beliau menjelaskan kewujudan UMSKAL di Labuan telah merancakkan pembangunan infrastruktur serta merancakkan pembangunan ekonomi Labuan dari pelbagai sudut.

Secara tidak langsung, katanya, kewujudan UMSKAL di Labuan telah menaikkan semangat dan memotivasikan anak muda tempatan untuk melanjutkan pengajian yang lebih tinggi bagi membina masa depan yang lebih baik.

“UMSKAL yang berusia lebih 20 tahun ini telah menabur bakti sebagai pusat pendidikan tinggi utama di Wilayah Persekutuan Labuan.

“UMSKAL telah melahirkan ramai alumni yang berjaya sehingga hari ini sejak beroperasi pada tahun 1999,”katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Bersama Pengarah Dan Pengenalan Pegawai-Pegawai di UMSKAL Sesi 2026/2027 yang diadakan di Dewan Utama pada Selasa.

Sementara itu Prof. Dr. Shamsul turut mengingatkan kepada pelajar untuk berusaha mempertingkatkan kemahiran diri dalam komunikasi, pemikiran kritis dan penyelesaian masalah, kerja berpasukan, moral dan etika profesional, keusahawanan, kepimpinan dan pembelajaran berterusan.

Katanya, pihak pengurusan akan sedaya upaya membantu pelajar menjadi graduan dan tenaga kerja yang cemerlang dalam memperkukuh proses transformasi negara berpaksikan inovasi dan menjana nilai tinggi dalam keperibadian pelajarnya.

“Perjalanan hidup bagi seorang pelajar yang bergelar mahasiswa adalah sangat mencabar yang memerlukan kecekalan dan kesabaran yang tinggi.

“Segala usaha dan kudrat harus diperkukuhkan kerana tidak wujud istilah jalan singkat dalam mencapai kejayaan.

“Saya juga mengharapkan agar pelajar tidak bergantung sepenuhnya kepada apa yang diajar oleh pensyarah semasa di dalam kuliah, tetapi sentiasa menerokai ilmu yang sangat luas di luar sana menerusi pembacaan dan kajian agar mampu menempatkan diri dalam pendidikan yang lebih tinggi,”katanya.

Turut hadir Dekan Fakulti Kewangan dan Antarabangsa Labuan (FKAL), Prof. Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal, Timbalan Dekan (Pascasiswazah dan Antarabangsa) Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Dr. Nooralisa Tuah dan Ketua Pentadbiran UMSKAL, Sharifah Ismail.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN