ADVERTISEMENTspot_img

Sambutan Kaamatan erat perpaduan, pelihara warisan budaya

Benedict (tengah) mewakili Jonathan dan lain-lain menumbuk padi dalam acara itu


RANAU: Sambutan Tadau Kaamatan Kampung Kimolohing yang berlangsung meriah di sini baru-baru ini bukan sahaja menjadi medan meraikan pesta menuai, malah berjaya menyatukan masyarakat setempat dalam semangat perpaduan, kekeluargaan dan penghargaan terhadap warisan budaya yang diwarisi turun-temurun.


Majlis itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin, yang diwakili oleh Ketua Pegawai Perhubungan Pusat Khidmat Parlimen Ranau, Benedict Gunda.


Dalam ucapan perasmiannya, Jonathan merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kimolohing atas kejayaan menganjurkan sambutan tersebut yang disifatkannya sebagai platform penting dalam memperkukuh hubungan silaturahim dan semangat perpaduan dalam kalangan penduduk.


Menurut beliau, Tadau Kaamatan bukan sekadar sambutan tradisi masyarakat Kadazandusun, malah merupakan warisan budaya yang perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda agar tidak pupus ditelan peredaran zaman.


“Program seperti ini memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan sesama masyarakat tanpa mengira usia dan latar belakang. Pada masa yang sama, ia menjadi wadah untuk memupuk rasa bangga terhadap budaya dan identiti kita sebagai rakyat Sabah,” katanya.


Beliau berkata, nilai-nilai seperti gotong-royong, hormat-menghormati, kerjasama dan semangat kekitaan yang diterapkan menerusi sambutan Kaamatan wajar terus diperkasakan kerana menjadi asas kepada keharmonian dan kemajuan sesebuah komuniti.


Jonathan turut memberi jaminan bahawa beliau akan terus berusaha membantu pelaksanaan program-program kemasyarakatan di seluruh kawasan Parlimen Ranau mengikut kemampuan yang ada.


Katanya, Pusat Khidmat Parlimen Ranau sentiasa komited menyokong penganjuran aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat, termasuk program kebudayaan, belia, pendidikan, sukan dan pembangunan komuniti.


“Selagi berkemampuan, saya akan terus memberikan sokongan kepada program-program kampung kerana pembangunan sesebuah masyarakat bukan hanya bergantung kepada kemudahan fizikal, tetapi juga kepada kekuatan perpaduan dan semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk,” katanya lagi.


Sepanjang sambutan, pelbagai aktiviti kebudayaan dan kemasyarakatan diadakan bagi memeriahkan suasana, sekali gus memberi peluang kepada penduduk untuk mengeratkan hubungan sambil meraikan Pesta Kaamatan yang menjadi lambang kesyukuran atas hasil tuaian serta nikmat keamanan dan keharmonian yang dinikmati.


Turut hadir ialah Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan merangkap Timbalan Ketua Menteri II dan Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Johari Suhaimin; Ketua Daerah Ranau, Muhasip Haji Roman; pegawai serta kakitangan Pusat Khidmat Parlimen Ranau; pemimpin-pemimpin masyarakat tempatan; dan penduduk kampung.


Sambutan itu sekali lagi membuktikan bahawa Tadau Kaamatan bukan sekadar pesta menuai, tetapi sebuah perayaan yang terus menjadi lambang perpaduan, kesyukuran dan pemeliharaan warisan budaya yang menyatukan masyarakat berbilang generasi di Sabah.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN