Samsudin (tiga kanan) bersama Prof. Dr. Patricia (dua kanan )merakamkan penghargaan sempena majlis perasmian Pesta Buku Borneo (Labuan) 2026
LABUAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata membaca bukan hanya sekadar memperolehi ilmu semata mata, tetapi merupakan proses membina pemikiran, dan mengukuh nilai serta mengembangkan imiginasi selain membentuk masa depan yang berimu.
Beliau berkata dalam dunia yang dipenuhi pelbagai sumber maklumat, kemampuan untuk membaca secara kritis dan membuat penilaian yang tepat merupakan satu kelebihan yang amat penting.
“Seiring dengan aspirasi Dekad Membaca Kebangsaan yang diterajui oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, budaya membaca perlu terus diperkasakan dalam semua lapisan masyarakat.
“Apabila masyarakat membaca, ilmu akan terus berkembang. Apabila ilmu berkembang, lahirlah generasi yang lebih berdaya saing, kreatif dan mampu menyumbang kepada kemajuan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Dan Penutupan Pesta Buku Borneo (Labuan) 2026 di Anggerik Square, Kompleks Ujana Kewangan, W.P Labuan pada Sabtu lalu.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek.
Katanya, Tema yang dipilih, “Membaca Melestarikan Ilmu, Mengilhamkan Generasi”, adalah sangat bertepatan dengan hasrat negara untuk membina modal insan yang berdaya fikir tinggi dan celik huruf pelbagai dimensi dan amat signifikan dalam konteks pembangunan negara masa kini.
Pesta Buku Borneo (Labuan) 2026 merupakan kesinambungan kepada kejayaan Pesta Buku Labuan 2025. Hasil daripada kejayaan berkenaan, penganjur mencatatkan peningkatan penyertaan pempamer yang amat ketara.
Hannah turut merakamkan penghargaan kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS) khususnya kepada Penerbit UMS atas penganjuran Pesta Buku Borneo 2026 yang berlangsung selama seminggu berakhir pada Sabtu lalu.
Tambahnya lagi, kerajaan MADANI sentiasa menyokong usaha yang memperkukuh budaya ilmu, meningkatkan tahap literasi rakyat dan memperluaskan akses kepada pendidikan berkualiti.
Beliau juga berharap penganjuran pesta buku di Labuan akan terus berkembang sebagai platform ilmu yang unggul, menjadi kebanggaan Wilayah Persekutuan Labuan dan seterusnya menjadi model kerjasama serantau dalam pembangunan industri buku dan pembudayaan membaca.
Pada majlis itu diadakan pelancaran buku “Sama Bajau Kepelbagaian Perspektif Pengkajian di Sabah”, sebuah lagi bukti penerbitan tempatan yang memperkaya khazanah ilmu Borneo.
Turut diadakan penyampaian hadiah Pertandingan Fotografi Keluarga bersempena dengan DMK Peringkat WP Labuan 2026, penyampaian Wakaf Buku dan persembahan Tarian Akar Seni Tari Pantai (ASTARI).



