Pasukan Cinnamon bersama Israh (enam dari kiri) semasa majlis penyampaian hadiah edisi kedua Kejohanan Bola Jaring Piala Presiden 3PKK Netball Club 2026 di Gelanggang Bola Jaring Yayasan Sabah baru-baru ini.
OLEH: VITALIS G. BINGKASAN
KOTA KINABALU: Kelab Bola Jaring 3PKK komited membantu pembangunan sukan bola jaring negeri ini.
Presidenya, Dr Israh Aripin berkata, antara usaha yang dilakukan kelab itu adalah dengan menganjurkan kejohanan-kejohanan.
“3PKK akan cuba menganjurkan lebih banyak kejohanan pada masa akan datang,” kata Israh.
Beliau berkata demikian selepas kajayaan penganjuran edisi kedua Kejohanan Bola Jaring Piala Presiden 3PKK Netball Club 2026 di Gelanggang Bola Jaring Yayasan Sabah baru-baru ini.
Kejohanan itu menyaksikan pasukan Cinnamon NC muncul johan selepas menang 18-17 ke atas Phantom NC (naib johan) pada perlawanan akhir.
Pemenang bersama tempat ketiga pula ialah pasukan VNETT dan Phoenix.
Anugerah Penghadang Terbaik dinobatkan kepada pemain Cinnamon, Serreny Nasib Antan manakala anugerah Penyerang Terbaik dimiliki Mariana Ajit (Phantom).
Sumbangan 83 jaringan untuk pasukan Phoenix pula menobatkan Siti Nurfatihah Abdullah anugerah Penjaring Terbanyak.
Anugerah Fair Play pula dinobatkan kepada pasukan Queen.
Kejohanan itu menawarkan hadiah wang tunai RM2,000 untuk johan, naib johan RM1,500 manakala pemenang bersama tempat ketiga RM700.



