ADVERTISEMENTspot_img

SANNS Adu Dabaai Angkat Warisan Murut Nabai Menerusi Ritma Kinabalu 2026

KENINGAU: Sekolah Adat Anak Negeri Sabah (SANNS) Adu Dabaai giat membuat persiapan bagi menyertai Program Ritma Kinabalu 2026 dengan mengetengahkan keunikan warisan dan identiti masyarakat Murut Nabai menerusi hiasan Baloi Tradisi Etnik di Kampung Budaya, di sini.

Persiapan itu melibatkan usaha menghias dan menyusun pelbagai elemen tradisional bagi menggambarkan keunikan adat, budaya serta kehidupan masyarakat Murut Nabai yang diwarisi sejak turun-temurun.

Pegawai Penerangan SANNS Adu Dabaai, Razali Ujoh, berkata penyertaan dalam program berkenaan merupakan platform penting untuk memperkenalkan khazanah warisan Murut Nabai kepada masyarakat luas, selain memupuk kesedaran mengenai kepentingan memelihara adat dan budaya masyarakat pribumi Sabah.

Beliau berkata, Baloi Tradisi yang diketengahkan bukan sekadar ruang pameran, sebaliknya mencerminkan identiti, nilai kehidupan dan jati diri masyarakat Murut Nabai yang perlu dipertahankan agar tidak hilang ditelan zaman.

Menurutnya, usaha berkenaan turut memberi peluang kepada generasi muda untuk mengenali, memahami dan menghayati warisan nenek moyang, sekali gus memastikan kesinambungan adat dan budaya masyarakat itu terus terpelihara.

Program Ritma Kinabalu 2026 diharap menjadi wadah memperkukuh perpaduan dalam kepelbagaian etnik di Sabah, selain membuka ruang kepada masyarakat untuk menghargai keunikan warisan budaya yang menjadi sebahagian daripada identiti negeri ini.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN