ADVERTISEMENTspot_img

Sambut Hari Sabah dengan semangat patriotisma yang tinggi: Abidin

Abidin (tengah) bersama kanak-kanak tabika Kemas di sini dan lain-lain dalam sambutan Hari Sabah dan Hari Kebangsaan itu


RANAU: Rakyat Malaysia, khususnya Sabahan perlu merayakan Sambutan Hari Sabah dengan semangat patriotisma yang sama tinggi seperti juga mereka merayakan Hari Kebangsaan.


Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, tarikh bersejarah itu menjadi bukti semangat rakyat negeri ini untuk meraih kebebasan daripada penjajah dan membina negeri yang berdaulat.


“Tema Hari Sabah tahun ini, Untukmu Sabah Tanah Airku, membawa maksud mendalam bahawa masa depan negeri ini terletak di tangan kita. Oleh itu, marilah kita bersama-sama berganding bahu memastikan Sabah terus maju, makmur serta rakyat hidup bersatu padu,” katanya.


Menurutnya, sambutan Hari Sabah bukan sekadar platform mengenang sejarah lalu, malah ruang untuk menghargai pencapaian yang telah dicapai sambil merancang masa depan yang lebih cemerlang.


“Generasi muda khususnya perlu memahami erti kemerdekaan, menghargai pengorbanan pendahulu dan bersedia memikul tanggungjawab sebagai pewaris negeri ini,” katanya.


Abidin yang juga ADUN Paginatan berkata demikian semasa merasmikan Majlis Sambutan Hari Sabah dan Hari Kebangsaan Gabungan Lima Tadika Kemas yang diadakan di Mini Dewan Sagindai Baru.


Sempena perayan tersebut, beberapa acara telah diadakan, antaranya pertandingan mewarna, tiup belon dan menghias payung merdeka. Anak-anak Tabika juga sempat mendeklamasi beberapa sajak Hari Kebangsaan yang disampaikan dengan baik sekali.


Dalam pada itu, beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada AJK Penganjur Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Gabungan 5 buah Tabika Kemas di kawasan Zon Timur.


“Saya amat teruja melihat semangat patriotism anak-anak Tabika. Mereka memperlihatkan kesungguhan menyanyikan lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku. Mereka mempamerkan semangat patriotisma yang amat tinggi kerana dapat menguasai lagu tersebut dengan amat baik sekali walaupun mereka masih kecil.


“Saya ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada ibubapa anak-anak ini kerana berjaya menghantar anak anak mereka ke Kelas Tabika untuk menimba ilmu seawal peringkat pra sekolah.


“Saya juga ingin menasihati anak-anak Tabika ini untuk terus menyemaikan sifat menghormati guru guru dan ibubapa,” katanya.


Menyentuh tentang Hari Kebangsaan atau Hari Kemerdekaan, Abidin menambah bahawa ia mempunyai erti yang amat dalam sekali, di mana ia mengingatkan tentang usaha pemimpin-pemimpin terdahulu dan bagaimana susahnya menuntut dan akhirnya mencapai kemerdekaan.


“Tugas kita sekarang sebagai generasi penyambung adalah bagaimana kita mengisi kemerdekaan dengan cara yang terbaik.


“Salah satu adalah mengujud dan mengekalkan perpaduan masyarakat majmuk tanpa mengira latarbelakang agama dan fahaman politik, saling bekerjasama di antara satu sama lain, menghormati Jalur Gemilang, dan mendukung Rukunegara,” katanya.


Di majlis itu, Abidin meluluskan peruntukan untuk kegunaan SK Sagindai Baru berjumlah RM1500 dan juga pembelian tangki baru bagi kegunaan Mini Dewan Sagindai Baru dan pembaikan tapak tangki tersebut.


Turut Hadir, Guru Besar SK Sagindai Baru Tovin Siong, Pegawai Khas Datuk Abidin Madingkir Juis Konsuling, Pengerusi PIBG Tabika Kemas Sagindai Baru, Pengerusi Pengajur Kiwelter Kisang, Ketua Kampung Didimus Jain, Pemaju Mukim Paus, Jasni Maston dan para pemimpin masyarakat setempat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN