hajiji
KOTA KINABALU, 13Kerajaan Negeri Sabah memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di negeri itu sehingga terdapat jaminan jelas bahawa kuasa autonomi imigresen Sabah tidak terhakis.
Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor berkata keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Jemaah Menteri Sabah meneliti pelbagai isu semasa berkaitan pelaksanaan AKPS, termasuk aspek perundangan dan pengoperasian imigresen di pintu-pintu masuk negeri.
Menurut beliau, pelaksanaan AKPS akan mengambil alih peranan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah di pintu masuk Sabah, namun Pihak Berkuasa Negeri tidak mempunyai kuasa secara langsung terhadap agensi tersebut, sebaliknya hanya melalui Pengarah Imigresen Negeri Sabah seperti diperuntukkan di bawah Subseksyen 6(3) Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 (Akta 860).
Beliau berkata kerajaan negeri turut mengesan wujud percanggahan antara Akta 860 dan Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) yang berpotensi menjejaskan kelancaran serta keberkesanan penguatkuasaan di pintu-pintu masuk Sabah.
“Kuasa autonomi imigresen kepada Sabah dan Sarawak adalah hak yang tidak boleh dirunding kerana pelaksanaan pembentukan Malaysia di bawah Malaysia Agreement 1963 (MA63) tertakluk kepada penggubalan kuasa autonomi imigresen bagi kedua-dua negeri,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan negeri akan terus mempertahankan hak istimewa serta kuasa autonomi imigresen Sabah bagi memastikan kedudukan negeri itu dari segi perlembagaan sentiasa terpelihara.
Katanya, penangguhan pelaksanaan AKPS itu juga bertujuan memastikan tiada sebarang penghakisan terhadap kuasa Pihak Berkuasa Negeri dalam hal ehwal imigresen Sabah.



