ADVERTISEMENTspot_img

Sabah Disaran Tubuh Kementerian Wanita – Flovia

KENANGAN…. Flovia (empat dari kanan) bergambar bersama Fatimah (tengah) dan kepimpinan tertinggi Persatuan BANTU, semasa menghadiri Sambutan Hari Wanita Sarawak 2025, di Kuching



KUCHING: Kerajaan Negeri Sabah disaran menubuhkan sebuah kementerian khusus bagi wanita sebagai langkah memperkasa pembangunan wanita secara lebih menyeluruh, terancang dan berimpak tinggi.

Cadangan itu dikemukakan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Flovia Ng, susulan kejayaan Sarawak dalam mengangkat agenda pemerkasaan wanita menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti yang ditubuhkan di negeri itu.

Bercakap kepada media sempena Sambutan Hari Wanita Sarawak 2025 yang dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Flovia berkata penubuhan kementerian tersebut diyakini dapat menyelaraskan pelaksanaan dasar dan program pembangunan wanita dengan lebih strategik.

“Saya amat berharap agar Sabah turut menubuhkan kementerian wanita sendiri. Ketika ini, pelaksanaan dasar berkaitan wanita hanya digalas oleh Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), yang mempunyai keterbatasan dari segi mandat dan sumber,” katanya.

Menurut beliau, kementerian wanita negeri bukan sahaja akan memperkukuh pelaksanaan dasar dan program sedia ada, malah berupaya menyediakan pelan pembangunan wanita Sabah yang lebih inklusif, mengambil kira realiti sosioekonomi dan geografi negeri itu.

“Seperti yang dibuktikan oleh Sarawak, kementerian wanita membolehkan pelaksanaan pelbagai inisiatif secara lebih tersusun dan meluas, termasuk dalam aspek pendidikan, ekonomi, keusahawanan, kepimpinan dan kesejahteraan sosial.

“Dengan peruntukan yang lebih jelas serta struktur pentadbiran yang kukuh, kementerian ini dapat memberi manfaat kepada kumpulan sasar seperti wanita luar bandar, wanita B40, ibu tunggal serta kumpulan rentan lain,” katanya.

Flovia turut menyatakan komitmen beliau selaku Pembantu Menteri yang bertanggungjawab terhadap JHEWA untuk memperjuangkan penubuhan kementerian tersebut, sebagai entiti rasmi bagi memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan dan sektor swasta.



“Penubuhan kementerian ini akan melengkapkan usaha pemerkasaan wanita di Sabah agar lebih sistematik, mampan dan inklusif, selari dengan Dasar Wanita Negara serta Pelan Tindakan Wanita Sabah.

“Ini juga menzahirkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan tiada golongan wanita yang tercicir dalam arus pembangunan negeri,” tambahnya.

Turut hadir pada majlis sambutan bertemakan “Wanita Hebat, Komuniti Kuat” itu ialah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah. Flovia hadir bersama delegasi JHEWA dan wakil Persatuan Sokongan Sahabat Sabah (BANTU).




ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN