26 C
Kota Kinabalu
Khamis, Jun 20, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Ronald  lancar Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna di Labuan

SIMBOLIK…. Ronald  (tiga dari kiri) ketika melancarkan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi di Labuan, pada Isnin.

LABUAN: Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee melancarkan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi 2021-2030.

Majlis pelancaran yang  memfokaskan enam teras utama dalam meningkatkan industri perikanan tuna negara  telah diadakan di salah sebuah hotel terkemuka di sini, pada Isnin.

Dalam ucapan perasmiannya beliau berkata pelan itu adalah kesinambungan kepada pelan strategik seumpamanya  yang dilancarkan 19 tahun lalu  sejak 2002 dan kini ia menumpukan kepada peningkatan pendaratan tuna dari tiga lautan berkenaan.

Katanya, pelan strategik itu juga sejajar dengan hasrat kerajaan memenuhi pembangunan industri perikanan laut dalam dan selaras dengan hasrat Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang dilancarkan pada Oktober lepas.

“Pelan strategik ini menyasarkan ‘outcome’ kompetitif bagi memastikan pembangunan industri tuna negara dapat dilaksanakan dengan lebih komprehensif melalui pertambahan vesel atau kapal laut dalam dan tuna yang beroperasi di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia dan laut lepas serta peningkatan pendaratan tuna di Malaysia kepada 150,000 tan metrik,” katanya.

Selain itu, pihaknya juga telah  menyasarkan  sekurang-kurangnya 85 peratus pembangunan vesel moden perikanan laut dalam dan tuna secara bersepadu mengikut pematuhan resolusi domestik dan antarabangsa.

 “Pelan strategik ini juga membantu memangkin pembangunan industri tuna melalui pelaburan swasta, membangunkan industri perikanan tuna secara mapan dan memenuhi piawaian antarabangsa, membangunkan modal insan dalam perikanan tangkapan dan pemprosesan tuna serta memantapkan sistem pengembangan dan pembangunan teknologi,” katanya.

Ronald berkata meskipun Sabah dan Labuan terletak di sebelah Malaysia Barat, hasil tangkapan tuna di Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi perlu diberikan perhatian, diurus dan dieksploitasi dengan baik bagi meningkatkan pendaratan tuna dan hasil ekonomi nelayan tempatan.

Katanya, enam teras utama dalam pelan strategik ini adalah Teras 1: Pematuhan Instrumentasi Domestik Dan Antarabangsa Perikanan Laut Dalam dan Tuna; Teras 2: Pembangunan Spesifikasi Vesel dan Peralatan serta Penetapan Kuota Tuna manakala Teras 3: Pembangunan dan Peningkatan Teknologi Perikanan Tuna.

Manakala teras keempat pula mengenai Pembangunan Sistem Pengurusan, Kawalan, dan Profil Industri Perikanan Tuna; Teras 5: Peningkatan Kapasiti Pengawalseliaan Perikanan Tuna; dan Teras 6: Peningkatan Kualiti Pasca Tuai dan Nilai Tambah Perikanan Tuna.

Sementara itu beliau berkata  sehingga kini, terdapat 265 permohonan dengan nilai pembiayaan RM108 juta telah diperakui di peringkat DOF dan daripada jumlah tersebut, RM92 juta adalah untuk pembiayaan program pemodenan manakala RM16 juta lagi untuk pembiayaan program mekanisasi,” katanya.

Jelasnya lagi,  kerajaan Persekutuan telah memberi komitmen dan memperuntukkan sebanyak RM14 juta kepada DOF untuk menjalankan Projek Pembangunan Perikanan Komersial Laut Dalam dan Tuna bagi meningkatkan usaha pendaratan dan penglibatan pemain industri serta nilai tambah perikanan laut dalam dan tuna di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN