Robert semasa menyampai ucapan secara maya.
KENINGAU:Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Bingkor berkata, kejayaan pelajar tidak akan dapat dicapai tanpa usaha gigih dan komitmen yang tinggi dalam kalangan pentadbir, guru-guru ibu bapa dan yang utama usaha pelajar itu sendiri.
Justeru katanya, permuafakatan sangat penting antara ibu bapa dan guru menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), hubungan yang erat dan mesra, diiringi kerjasama yang padu antara ibu bapa dan guru diibaratkan seperti aur dengan tebing, saling memerlukan antara satu sama lain.
“Kerjasama ini sudah pasti menjadi pendorong dan pemudah cara dalam setiap usaha ke arah kemajuan anak-anak kita sebagai tonggak masa hadapan” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang (MAPC)Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)secara maya (online)kelmarin.
Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya berkata, peranan PIBG tidak dapat dinafikan dalam usaha membantu meningkatkan pencapaian sekolah dalam pelbagai bidang seperti akademik, kokurikulum, pembangunan fizikal dan pembentukan modal insan.
Dalam hal ini katanya, ibu bapa haruslah peka dan membantu kepimpinan PIBG supaya dapat mengwujudkan satu pasukan yang mantap untuk menghadapi cabaran era globalisasi ini kerana PIBG merupakan satu wahana yang amat berkesan bagi ibu bapa berbincang dan memberi pandangan yang perlu demi kecemerlangan akademik anak-anak, pun tidak dilupakan peranan dan pengorbanan guru amatlah besar, yang telah menjadikan semua manusia menjadi orang yang mampu berfikir, bertindak dan mewarnai dunia.
“Sesungguhnya, kita menyedari bahawa generasi muda adalah aset masa depan negara. Justeru itu, kita semua perlu menggembleng segala usaha dan tenaga bagi mempersiapkan golongan ini dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran bagi melahirkan generasi yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan mempunyai tahap intelektual yang tinggi, berdisiplin dan berupaya menghadapi cabaran bagi meneruskan kesinambungan kemajuan dan kemakmuran yang kita nikmati pada hari ini” jelasnya.
Beliau juga berharap agar anugerah yang diterima oleh menjadi pemangkin kecemerlangan bagi para pelajar.
Pada masa sama Robert berkata, kecemerlangan para pelajar tidak lahir daripada usaha individu sahaja, tanpa bantuan guru dan pendidik.
Sehubungan itu, Robert mengucapkan tahniah dan syabas kepada para pendidik yang turut menunjukkan kegigihan mereka dalam memastikan pelajar-pelajar mendapat ilmu dengan cara yang betul untuk meraih kejayaan.
“Tidak dilupakan juga sokongan, doa, semangat dan dorongan daripada semua ibu bapa pelajar-pelajar” tambahnya.
Hadir sama Pengetua SMK Apin-Apin Puan Dorothea Caherina Onong, Yang Dipertua PIBG SMK Apin-Apin Puan Kamsi Ahmad, Penolong Kanan Kurikulum dan Pentadbiran Hamid Roslan, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Cik Rosna Sangkar dan Penolong Kanan Kokurikulum Jalim Haris.