Robert semasa berucap pada majlis itu
KENINGAU:Kebelakangan ini, kadar kemalangan elektrik yang berlaku di negeri Sabah berada pada tahap yang agak membimbangkan.
Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik @ Nordin berkata, berdasarkan statistik Suruhanjaya Tenaga, negeri Sabah mencatatkan jumlah kemalangan elektrik tertinggi berbanding negeri-negeri di Semenanjung.
Katanya, kemalangan ini mungkin dapat dielakkan di masa hadapan dengan dengan menerapkan pengetahuan tentang bahaya elektrik di kalangan masyarakat serta pelaksanaan kerja penyelenggaraan berterusan oleh pihak bertanggungjawab bagi memastikan pepasangan elektrik sentiasa dalam keadaan baik dan selamat.
“Kemalangan elektrik atau gas boleh terjadi kerana kurangnya kesedaran terhadap aspek keselamatan ketika bekerja” katanya semasa berucap pada majlis penutupan Program Touchpoint Suruhanjaya Tenaga Pantai Barat Sabah bagi DUN Bingkor di Dewan Masyarakat Bingkor kelmarin.
Robert (dua dari kiri)bersama Pegawai dan pemimpin-pemimpin masyarakat yang hadir.
Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Bingkor berkata,
sektor tenaga memainkan peranan utama dalam pembangunan dan pertumbuhan ekonomi kerana penyediaan bekalan tenaga yang mencukupi, berkualiti dan berdaya harap amat diperlukan bagi memacu pembangunan sosial dan ekonomi masyarakat secara amnya.
Namun katanya, masih ramai di kalangan masyarakat yang masih kurang peka kepada kepentingan keselamatan dan kecekapan dalam penggunaan elektrik dan gas yang secara tidak langsung boleh menjejaskan daya harap pembekalan tenaga.
“Sebagai contoh jika berlakunya kemalangan elektrik yang melibatkan aset syarikat pembekal tenaga elektrik, bekalan elektrik terpaksa dimatikan untuk melakukan kerja-kerja pembaikan dan pemulihan” jelasnya.
Situasi ini tambahnya, secara tidak langsung menjejaskan aktiviti harian pengguna yang terjejas dan lebih buruk lagi mengakibatkan operasi sesebuah industri atau perniagaan terpaksa diberhentikan serta-merta.
“Kos kerugian ini tidak hanya menjejaskan pihak pembekal tenaga namun turut memberi kesan kepada aktiviti sosial dan ekonomi kawasan yang terjejas secara keseluruhannya” katanya.
Pada masa sama beliau berharap ketua-masyarakat yang hadir supaya dapat menyampaikan ilmu dan pengetahuan yang telah ditimba kepada saudara-mara, rakan-rakan, jiran-jiran dan orang-orang di sekeliling untuk kebaikan serta manfaat bersama.
Hadir sama Pengarah Kawasan Suruhanjaya Tenaga Pantai Barat Sabah Jefrey Nuri, Pengurus SESB Keningau Puan Retty Felicia Simok, Pengurus Giatmara Keningau Jamidol Bin Alip, Pegawai-Pegawai serta kakitangan Suruhanjaya Tenaga dan pemimpin-pemimpin masyarakat.