ADVERTISEMENTspot_img

RM21 JUTA UNTUK SABAH, RM200 JUTA UNTUK LUAR NEGARA: PERSEKUTUAN PERLU UTAMAKAN RAKYAT TEMPATAN

Muhd Raiyan


TAWAU: Timbalan Ketua Exco Wiramuda STAR Sabah, Muhd Raiyan Fung Abdullah menegaskan bahawa kerajaan Persekutuan perlu memberi perhatian yang lebih besar kepada Sabah dalam isu peruntukan bantuan bencana.


Ini, katanya, ialah memandangkan negeri ini merupakan antara penyumbang utama hasil negara tetapi sering menerima dana yang terlalu kecil setiap kali dilanda bencana.


Beliau berkata, Sabah kaya dengan sumber asli seperti minyak, gas dan hasil hutan serta terkenal dengan keindahan alam semula jadinya.


Namun, di sebalik kelebihan itu, tambahnya, Sabah tetap berdepan bencana hampir setiap tahun termasuk banjir, tanah runtuh, ribut dan gempa bumi yang merosakkan infrastruktur serta menjejaskan kehidupan rakyat.


“Baru-baru ini diumumkan hanya RM21 juta diperuntukkan untuk Sabah dengan RM10 juta disalurkan melalui NADMA dan RM11 juta lagi daripada kerajaan negeri Sabah.


“Pada masa yang sama, bantuan kemanusiaan ke luar negara mencecah RM200 juta. Walaupun kita tidak menolak kepentingan bantuan antarabangsa atas dasar kemanusiaan sejagat, prinsip Malaysia First mesti ditegakkan.


“Kebajikan rakyat Sabah yang juga warganegara Malaysia seharusnya diberi keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan di Tawau, Selasa.


Muhd Raiyan menegaskan bahawa bantuan segera sebegini hanyalah penyelesaian jangka pendek dan tidak mampu menangani masalah sebenar bencana di Sabah.


Katanya, apa yang lebih mendesak ialah pelaburan besar dalam projek mitigasi banjir dan sistem perparitan moden yang boleh mengurangkan risiko jangka panjang.


“Setiap kali bencana berlaku, rakyat diberi peruntukan kecil untuk tampung kerugian. Tetapi selepas itu, masalah kembali berulang kerana tiada usaha menyeluruh untuk pencegahan.


“Kos pemulihan sangat besar kerana melibatkan rumah penduduk, sekolah, hospital, jalan raya, jambatan dan kemudahan awam lain,” ujar beliau.


Beliau menambah bahawa Sabah sebagai penyumbang utama hasil negara berhak menerima peruntukan yang lebih seimbang dengan risiko bencana yang dihadapi.


“Kerajaan mesti menyalurkan dana lebih besar, telus dan pantas supaya bantuan sampai tepat pada waktunya serta benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” tegasnya.


Muhd Raiyan menutup kenyataannya dengan mengingatkan bahawa suara rakyat Sabah mesti dihormati kerana mereka adalah tulang belakang Malaysia yang berhak menikmati hasil kekayaan tanah air sendiri.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN