32 C
Kota Kinabalu
Jumaat, Mei 23, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Reformasi Parlimen dari Perspektif Sabah

KOTA KINABALU: Yayasan WISDOM menyeru Kerajaan Persekutuan untuk bertindak mereformasi Parlimen Malaysia dengan mempertimbangkan perspektif Sabah berdasarkan semangat pembentukan Malaysia seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pengerusi Eksekutif Yayasan WISDOM , Datuk Wilfred Madius Tangau berkata, Sarawak merupakan negeri dengan keluasan tanah terbesar di Malaysia pada 124,450 kilometer persegi, diikuti oleh Sabah dengan 73,631 kilometer persegi.

Hakikatnya, Sabah dan Sarawak merupakan tanah besar Malaysia, merangkumi 60% daripada keseluruhan negara ini.

Disamping itu, Sabah dan Sarawak sangat kaya dengan sumber semula jadi, namun malangnya rakyat di negeri ini terutamanya di Sabah, merupakan rakyat termiskin di Malaysia.

Walaupun kita akan menyambut Hari Malaysia ke-58 pada 16 September 2021, Sabah tetap menjadi negeri dengan kadar kemiskinan tertinggi pada kadar 25.3%, iaitu hampir dua kali ganda peratusan negeri Sarawak pada tahun 2020 iaitu 12.9% berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ini jelas menunjukkan bahawa ada keperluan penting untuk suara dan pengundian yang lebih besar dari wakil rakyat dan Senator daripada Sabah dan Sarawak di Parlimen Malaysia.

Pada 1963, Dewan Rakyat terdiri daripada 159 kerusi ketika Malaysia dibentuk: 104 kerusi untuk Tanah Melayu, 16 kerusi untuk Sabah, 24 kerusi untuk Sarawak, dan 15 kerusi untuk Singapura.

Berdasarkan penetapan ini, hanya 34% kerusi parlimen mewakili kawasan pilihan raya dari luar Tanah Melayu dan ketika Singapura berpisah dari Malaysia, peratusan ini turun menjadi 25%.

Hari ini, Dewan Rakyat terdiri daripada 222 kerusi; 166 kerusi untuk Semenanjung Malaysia, 25 kerusi untuk Sabah, dan 31 kerusi untuk Sarawak.

Malangnya, peratusan kerusi parlimen yang bukan dari Semenanjung Malaysia hanya kekal 25% di mana Sabah hanya memiliki 11% sementara Sarawak memiliki 14% sahaja.

Parlimen memerlukan banyak reformasi untuk mendapatkan kembali zaman kegemilangannya sebagai cabang perundangan yang bebas, justeru Kerajaan Persekutuan perlu mengambil perhatian terhadap ketidakseimbangan dalam pembahagian kerusi di antara negeri-negeri di Malaysia.

Sabah dan Sarawak seharusnya menjadi rakan setara dengan Tanah Melayu, malangnya sejak awal lagi, jumlah kerusi tidak dibahagikan secara sama rata berbanding Tanah Melayu yang mempunyai 2/3 daripada jumlah keseluruhan kerusi di Parlimen.

Oleh itu, untuk mendapatkan kembali status rakan setara kita, apa yang boleh dilakukan juga ialah termasuklah meningkatkan jumlah pewakilan rakyat Sabah dan Sarawak di Senat daripada 9 kepada 24 anggota, iaitu penambahan lantikan sebanyak 15 Senator.

Yayasan WISDOM sangat mendesak Kerajaan Persekutuan untuk melakukan reformasi Parlimen untuk memastikan Parlimen akan memberikan sumbangan yang berkesan demi pembangunan negara.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN