KOTA KINABALU: Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah YB Datuk Christina Liew, Raymond Ahuar telah dipecat hari ini atas syor kabinet negeri Sabah berhubung tingkah laku bermasalahnya sebagai pemimpin PKR Negeri
Menurut sumber pejabat Datuk Christina Liew mengesahkan pemecatan itu.
“Ya Raymond Ahuar dipecat atas arahan kabinet. Beliau sering bertindak membelakangkan parti dan menggunakan surat parti mengarahkan pelbagai agensi kerajaan terlibat dengan program yang beliau anjurkan”. Kata sumber itu.
Banyak isu kontroversi dicetuskan oleh Raymond Ahuar sebelum ini yang menjejaskan parti dan kedudukan Christina Liew selaku Timbalan Ketua Menteri Sabah.
Awal disember 2018 Raymond dikaitkan isu surat sokongan tender membekal dan perkhidmatan di Kementerian Pendidikan Malaysia yang menyebabkan Timbalan Perdana Menteri terpalit isu berkenaan.
Awal Januari 2019 Kerajaan Negeri dikejutkan dengan isu Setiausaha Politik ‘Pau’ kontraktor pprojek menaikkan papan iklan di serata negeri untuk mempromosi ketua menteri.
11 Disember 2019 sebelum PRK Kimanis bermula sekali lagi Raymond Ahuar yang juga ketua Pemuda PH negeri membelakangkan Christina dan juga Kerajaan PH Sabah apabila mengesyorkan mahu gabungan itu bertanding pada Pilihan Raya Kecil Kimanis atas alasan Warisan tewas tipis dan bukan sebahagian daripada PH.
Banyak lagi isu mengenai Raymond Ahuar termasuk bergaduh dengan pemimpin tempatan PH atau Warisan seperti Datuk Peter Anthony Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah selaku Presiden KDM Sabah.
Pemecatan Raymond Ahuar adalah kemuncaknya. –Sumber SabahKini2.com
Sementara itu, Raymond salam satu kenyataan media hari ini (13 Febuari 2020), menerima pemecatannya dengan hati yang terbuka.
“Saya menerima pemecatan saya dengan hati yang terbuka seperti mana saya menerima tanggungjawab ini dengan hati yang terbuka dahulu.
“Saya ingin berterima kasih kepada kerajaan negeri Sabah kerana memberikan kepercayaan kepada saya sejak setahun enam bulan yang lalu bagi menggalas tanggungjawab selaku Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.
“Saya akan terus memberikan sokongan penuh kepada kerajaan negeri Sabah dan kerajaan Malaysia Baru,” katanya.
Raymond yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan Sabah dan Ketua Pemuda Pakatan Harapan Sabah serta Naib Ketua Pemuda Pakatan Harapan pusat berkata, beliau akan terus memimpin anak muda untuk menentang korupsi, ketirisan dan salahguna kuasa dalam kerajaan hari ini serta menyampaikan suara anak muda Sabah agar didengari pemimpin di peringkat negeri mahupun persekutuan.
“Saya akan melaksanakan tanggungjawab selaku Ketua Cabang PKR Pensiangan dan Ahli Majlis Pimpinan PKR Pusat bagi membawa suara rakyat agar sampai kepada pengetahuan pemerintah berkenaan keluhan dan keperluan rakyat.
“Saya juga akan terus mendokong kerajaan dalam melaksanakan manifesto Pakatan Harapan serta mengangkat Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8,” tegas Raymond.
Terdahulu pemecatan Raymond telah dibawa ke Mesyuarat Kabinet negeri Sabah dan diusulkan sendiri oleh Ketua Menteri Sabah serta mendapat sokongan majoriti anggota kabinet. –TAMAT–