RANAU: Polis membuka kertas siasatan berhubung satu kenyataan di media sosial yang menggesa kedai milik warga Pakistan di Ranau dan seluruh Malaysia dibakar, kerana berpotensi menimbulkan ketakutan serta kegusaran awam.
Ketua Polis Daerah Ranau Supt Mursalin Mahmud berkata kenyataan berkenaan dikesan Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau menerusi laman Facebook Berita Harian Ranau pada 17 Okt.
Beliau berkata pihak polis turut membuat tangkap layar kenyataan berkenaan sebelum ia dipadamkan.

Tangkap layar
Menurutnya, hantaran yang menggunakan tanda pagar #PDRM itu menarik perhatian ramai dengan menerima kira-kira 200 komen.
“PDRM memandang serius perkara itu dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan yang dikongsikan menerusi laman Facebook rasmi Polis Daerah Ranau.
Mursalin turut menasihati pengendali serta pengguna media sosial supaya tidak menyalahgunakan platform komunikasi dan multimedia sehingga melanggar undang-undang.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada masyarakat Ranau yang sentiasa peka dan memberikan kerjasama kepada polis dalam usaha memastikan kesejahteraan serta keselamatan komuniti setempat.



