Rancang Pengurusan Tanah Perkuburan Lebih Awal, Elak Kesulitan Waris – OKK Alexius
Oleh: Paul Ukau
BINGKOR: Kesukaran mendapatkan tapak pengebumian apabila berlaku kematian perlu ditangani lebih awal melalui kerjasama masyarakat, termasuk mereka yang telah berhijrah dan menetap di luar kampung halaman.
Ketua Daerah (KD) Keningau merangkap Ketua Hakim Mahkamah Anak Negeri (MAN) Keningau, OKK Alexius Tingadon Pantayan, berkata pengurusan tanah perkuburan merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan penyertaan penduduk, khususnya mereka yang mempunyai hubungan dengan tanah dan kawasan perkuburan berkenaan.
Menurutnya, beberapa kejadian sebelum ini menyaksikan keluarga berdepan kesukaran mendapatkan tempat pengebumian akibat kekangan berkaitan tanah perkuburan. Keadaan itu perlu dijadikan pengajaran agar penyediaan, penyusunan dan penjagaan kawasan perkuburan tidak hanya diberi perhatian apabila berlaku kematian.
“Kerja gotong-royong untuk menjaga dan mengatur kawasan perkuburan ini sangat penting dan perlu disertai oleh semua penduduk serta mereka yang mempunyai kaitan dengan tanah dan tempat perkuburan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi media sosial ketika mengulas inisiatif penduduk Kampung Sandapak, Bingkor, mengadakan gotong-royong pada Sabtu ini bagi membuka laluan untuk pembinaan pagar jenis chain-link di Tanah Simpanan Perkuburan Bumiputera kampung berkenaan.
Inisiatif itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sandapak, Nicol Zenno Mikat Atam Singgon, sebagai usaha masyarakat setempat untuk menjaga dan mengurus kawasan perkuburan.
Alexius turut mengingatkan penduduk yang berasal dari kampung tetapi kini bekerja atau bermastautin di bandar dan daerah lain supaya mengekalkan hubungan dengan komuniti asal, terutama jika berhasrat untuk dikebumikan di tanah perkuburan kampung halaman.
Katanya, hubungan yang renggang akibat jarang pulang ke kampung boleh menyulitkan urusan mendapatkan tapak pengebumian. Oleh itu, perkara berkaitan tanah perkuburan wajar difahami dan diselaraskan lebih awal, bukan hanya selepas berlaku kematian.
Dalam konteks Kampung Sandapak, usaha membina pagar bukan sekadar penyediaan kemudahan fizikal, malah mencerminkan tanggungjawab bersama terhadap tanah yang mempunyai nilai sejarah, kekeluargaan dan warisan komuniti.
Alexius berharap masyarakat lebih serius dalam menguruskan tanah perkuburan di kawasan masing-masing supaya kesulitan yang pernah berlaku tidak berulang. Perancangan awal, penyelenggaraan bersama dan hubungan baik antara penduduk penting bagi memastikan waris dapat menguruskan perpisahan terakhir dengan tenang, teratur dan bermarua



