RATU SERIMPAK- Nabila Samsuddin.
Oleh: Paul Ukau
KOTA BELUD: Pelajar tahun akhir Universiti Malaysia Sabah (UMS), Nabilah Samsuddin, dinobatkan sebagai Ratu Serimpak sempena Tamu Besar Kota Belud 2026 selepas menewaskan sembilan peserta lain di pentas utama tapak sambutan itu, baru-baru ini.
Nabilah dari Kampung Penampang, Kota Belud, membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 berserta hadiah iringan.
Tempat kedua dimenangi Puteri Asyiqin Datu Abdullah Azan dari Kampung Timbang Dayang, manakala Harnie Norhidayah Muhiddin dari Kampung Siasai menduduki tempat ketiga.
Bagi kategori Tanjak Pahlawan, Mohd Irfan Abd Rakman dari Kampung Kesapang muncul juara selepas mengatasi sembilan peserta lain di pentas sama.
Kemenangan itu membolehkan Mohd Irfan menerima hadiah wang tunai RM3,000 berserta hadiah iringan.
Muhd Aiqal Aiman dari Kampung Pirasan meraih tempat kedua, diikuti Fadzley Izzani Lamsin dari Kampung Taun Gusi di tempat ketiga.
Hadiah kepada kedua-dua juara disampaikan oleh Datin Sarina Mohd Yaakub, isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk.



