KUDAT: Hasil kerajaan Sabah yang disasarkan melebihi RM7 bilion tahun ini perlu diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dinikmati rakyat, termasuk melalui pendidikan dan pembangunan kemahiran, kata Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata peningkatan hasil negeri mencerminkan keupayaan kerajaan memperkukuh kedudukan kewangan dan menyediakan ruang untuk melaksanakan agenda pembangunan yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
Ewon berkata hasil Sabah meningkat daripada RM6.96 bilion pada 2022 dan disasarkan melebihi RM7 bilion pada 2026.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen GRS menerusi sesi “Bicara SMJ 2.0: Memaknai Manifesto GRS” di sini hari ini.
Menurutnya, antara contoh manfaat yang dapat dinikmati rakyat ialah pemberian Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) kepada anak muda Sabah yang melanjutkan pengajian di Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) serta mereka yang mengikuti latihan pendidikan dan teknikal di KKIP Aerospace Training Center.
“Bila hasil bertambah, maka sudah tentunya kemakmuran boleh dirasai oleh rakyat Sabah,” katanya.
Ewon turut mengaitkan pencapaian kerajaan negeri dengan perkembangan penyelesaian tuntutan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata sebanyak 13 perkara berkaitan MA63 telah diselesaikan setakat ini di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Menurutnya, pencapaian itu termasuk peningkatan pembayaran khas interim kepada Sabah daripada RM26 juta pada 2020 kepada RM1.5 bilion tahun ini, selain pemilikan ekuiti kerajaan negeri dalam sektor penerokaan dan industri berkaitan petroleum bersama PETRONAS.
Ewon berkata kesinambungan dasar dan pelan pembangunan penting bagi memastikan peningkatan hasil negeri disalurkan kepada usaha memperkukuh kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata pendekatan itu merupakan sebahagian daripada teras Sabah Prosper dalam Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, yang menekankan kemakmuran negeri perlu turut dirasai oleh masyarakat.
Dalam ucapannya, Ewon turut menyatakan pandangan bahawa Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia wajar ditadbir dengan peranan utama gagasan parti-parti tempatan di wilayah masing-masing.
Beliau berkata penyertaan UPKO dalam GRS mencerminkan hasrat parti itu untuk bersama-sama parti tempatan Sabah menguruskan negeri serta menyumbang kepada pembangunan negara.



