OKK Alexsius Tingadon, Ketua Daerah Keningau
KENINGAU: Adat istiadat dan pantang larang warisan nenek moyang perlu terus diterapkan dalam kalangan generasi muda dan masyarakat masa kini bagi memupuk kehidupan yang harmoni, bertoleransi serta saling menghormati antara satu sama lain.
Ketua Daerah Keningau, OKK Alexsius Tingadon berkata, meskipun kemajuan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI), semakin mempengaruhi kehidupan masyarakat, nilai adat dan pantang larang yang diwarisi sejak turun-temurun tidak seharusnya diketepikan.
Menurutnya, amalan tersebut bukan sahaja mencerminkan identiti masyarakat, malah menjadi asas penting dalam membentuk disiplin, menghormati sensitiviti serta memperkukuh perpaduan komuniti.
“Sebagai contoh, di sekitar Mukim Bingkor, walaupun masyarakatnya terdiri daripada pelbagai anutan agama, amalan menghormati keluarga yang kehilangan insan tersayang masih dipelihara.
“Apabila berlaku kematian dalam kalangan keluarga, saudara-mara atau jiran, larangan memainkan muzik sepanjang tempoh berkabung atau pantang masih diamalkan sebagai tanda menghormati keluarga yang sedang berduka,” katanya ketika ditemui di Pekan Bingkor pada Ahad.
Beliau berkata, amalan sedemikian membuktikan bahawa nilai kemasyarakatan yang diwarisi daripada nenek moyang masih relevan dalam membentuk masyarakat yang prihatin, bertimbang rasa dan memahami perasaan orang lain.
Alexsius turut memuji masyarakat di Mukim Bingkor yang terus memberikan kerjasama dalam memelihara adat dan pantang larang berkenaan, sekali gus memperkukuh budaya disiplin serta semangat hidup bermasyarakat.
Tegasnya, penerapan nilai adat dan budaya juga berpotensi membantu usaha pihak berkuasa, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM), dalam membendung gejala sosial dan mengurangkan risiko jenayah melalui pembentukan sahsiah serta kesedaran terhadap kepentingan mematuhi undang-undang.
“Apabila adat, istiadat dan pantang larang diterapkan sejak usia muda, generasi baharu akan lebih memahami batas tingkah laku serta kepentingan menghormati peraturan yang ditetapkan, termasuk undang-undang adat di bawah bidang kuasa Mahkamah Anak Negeri.
“Kesedaran ini boleh membantu membentuk masyarakat yang lebih berdisiplin dan menyokong usaha pihak berkuasa dalam mengekalkan keselamatan serta ketenteraman awam,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya menolak sentimen perkauman dan provokasi yang boleh menjejaskan keharmonian, khususnya perkara yang menyentuh sensitiviti agama, adat serta budaya sesuatu komuniti.
Katanya, masyarakat di daerah ini seharusnya bersyukur kerana dapat menikmati kehidupan yang aman dan damai, selain terus memelihara sikap saling menghormati tanpa membangkitkan isu sensitif yang boleh menyinggung perasaan pihak lain.
“Budaya perkahwinan campur dan kehidupan berjiran dengan keluarga serta sahabat handai yang berlainan bangsa dan agama merupakan antara kekuatan masyarakat di daerah ini dalam memupuk sikap saling menghormati.
“Keluarga saya sendiri terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, namun kami tetap teguh mempertahankan keharmonian serta hubungan kekeluargaan,” katanya.
Beliau turut memuji amalan masyarakat bukan Islam di daerah ini yang menghidangkan makanan halal ketika menganjurkan majlis perkahwinan atau perayaan tertentu sebagai tanda menghormati tetamu beragama Islam.
Menurutnya, penyediaan makanan berkenaan, termasuk penyembelihan haiwan ternakan seperti lembu, kerbau dan ayam oleh individu yang berkelayakan mengikut ketetapan berkaitan, mencerminkan keprihatinan masyarakat terhadap keperluan serta kepercayaan agama masing-masing.
Justeru, Alexsius berharap semua lapisan masyarakat terus berganding bahu memelihara dan mewariskan adat istiadat serta pantang larang kepada generasi akan datang agar khazanah budaya itu tidak luput ditelan zaman.
Beliau berkata, usaha berterusan tersebut penting bagi memastikan nilai toleransi, hormat-menghormati dan perpaduan terus menjadi asas kehidupan masyarakat berbilang kaum dan agama di daerah ini.



