ADVERTISEMENTspot_img

UPKO mahu tambah nilai kerjasama politik, perkukuh kestabilan Sabah: Ewon

EWON ketika menyampaikan ucapan dalam sesi BICARA SMJ 2.0:Memaknai Manifesto GRS sempena Konvensyen GRS 2026 di Kudat, pada Ahad


KUDAT: Penyertaan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) sebagai parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertujuan menambah nilai kepada kerjasama dan perpaduan politik demi memperkukuh kestabilan kerajaan negeri, kata Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata penyertaan UPKO dalam GRS pada 18 Jun lepas turut bertujuan memastikan kesinambungan manifesto gabungan itu yang diterjemahkan menerusi Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Ewon berkata UPKO telahpun berada dalam Kerajaan Sabah sebelum menyertai GRS bagi memastikan kesinambungan agenda pembangunan negeri dapat dijayakan.

“Secara politiknya, saya berharap dan amat yakin penyertaan UPKO sebagai parti komponen GRS bukan hanya dapat memaknai manifesto dan hala tuju GRS, tetapi memberi nilai tambah kepada kerjasama dan perpaduan politik yang harus menjadi teras kepada kestabilan Kerajaan Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Konvensyen GRS menerusi sesi “Bicara SMJ 2.0: Memaknai Manifesto GRS” di sini hari ini.

Ewon berkata keberkesanan manifesto dan pelan hala tuju kerajaan tidak seharusnya dinilai berdasarkan perancangan semata-mata, sebaliknya melalui pencapaian yang dapat dinikmati dan dirasai rakyat.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap pendekatan Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang menjadikan kesinambungan manifesto dan pelan hala tuju sebagai asas kepimpinan serta tadbir urus Kerajaan Sabah.

Menurutnya, UPKO melihat GRS sebagai wadah parti-parti tempatan Sabah untuk bersama-sama menguruskan negeri dan memainkan peranan dalam pembangunan negara.

“Rumah kita, Sabah, biar kita di GRS ini menjaganya dengan sebaik-baiknya,” katanya.


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN