Rakyat perlu kuasai semula politik negara, bukan golongan elit, kata Upko

Rakyat perlu kuasai semula politik negara, bukan golongan elit, kata Upko

19/07/2021 Off By Admin

Ewon Bennedick berkata, rakyat perlu menguasai semula politik, bukannya golongan elit- .Foto FMT


KOTA KINABALU: Politik di negara ini perlu dikuasai semula oleh rakyat, bukannya golongan elit, kata Naib Presiden Upko, Ewon Benedick.

Beliau berkata, kecelaruan pentadbiran kerajaan hari ini berpunca daripada percaturan politik golongan elit yang sudah sekian lama berada dalam arena kepimpinan tetapi tidak lagi mendengar denyut nadi rakyat.

“Sudah tiba masanya politik negara ini dikuasai semula oleh rakyat seperti mereka menuntut kemerdekaan dan menubuhkan Persekutuan Malaysia sebelum ini.

“Kepimpinan ketika itu datang terus daripada rakyat namun pada hari ini mereka yang sudah menjadi golongan elit menguasai percaturan politik semata-mata kerana mahu mengekalkan kedudukan mereka.

“Kita tidak mahu lagi hanya sekumpulan ahli politik tertentu sahaja yang mencaturkan kepimpinan negara, kita mahu rakyat bangkit dan membuat tuntutan. Seterusnya keputusan semasa pilihan raya, kita juga tidak mahu lagi politik ini menjadi warisan keluarga, tetapi seharusnya menjadi warisan rakyat,” katanya dalam webinar anjuran Upko semalam.

Ewon yang juga ADUN Kadamaian dalam pada itu menjelaskan Upko sama seperti parti lain yang mempunyai matlamat perjuangan termasuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Katanya, Upko perlu memberi keseimbangan sebagai parti berorientasikan pembangunan dasar dan parti yang berorientasikan perkhidmatan rakyat akar umbi.

“Pada saat ketika kita berhadapan dengan krisis kesihatan berikutan pandemik Covid-19, maka kita perlu bekerjasama dengan semua pihak.

“Kita boleh mainkan peranan semak dan imbang secara berkesan tetapi dalam masa sama bekerjasama dengan pihak lain termasuk pihak kerajaan untuk memastikan rakyat terbela semasa menghadapi krisis ini,” katanya.

Ewon berkata, selain bantuan segera seperti bakul makanan, kita boleh bekerjasama dengan pihak kerajaan bagaimana kempen vaksinasi ini boleh dijayakan dengan menggerakkan jentera parti berkempen mengenai manfaat vaksin adalah antara langkah yang boleh laksanakan,” katanya.

Beliau juga berpendapat, ramai pemimpin dalam mana-mana parti ingin menjadi sebahagian daripada urus tadbir kerajaan tetapi jarang yang mahu menjadi sebahagian daripada perkhidmatan kepada rakyat.

“Sejak menyertai kepimpinan parti pada tahun 2005, saya mengamati ramai yang mahu menjadi kerajaan kerana mereka berasa akan mempunyai akses kepada banyak kemudahan.

“Tetapi sangat jarang yang mahu berkhidmat kepada rakyat kerana motivasi mereka yang berlainan dan itu sebabnya pada saya, ada hikmah di sebalik Upko berada di luar kerajaan buat masa ini.

“Sejak penubuhan parti, kita sentiasa berada dalam kerajaan, bila kita berada di luar kerajaan, maka cabaran kepimpinan sangat besar, tetapi kita boleh mengetahui keperibadian seseorang itu berdasarkan kecekalan menghadapi cabaran berkenaan,” katanya.- Free Malaysia Today