Datuk James Ratib
SUGUT: Rakyat negeri ini disaran untuk terus mempertahankan keharmonian hidup bermasyarakat sesuai dengan semangat toleransi antara kaum dan agama di Sabah.
Datuk James Ratib yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat Sabah berkata, budaya meniupkan isu-isu kebencian terhadap pemimpin, kaum atau agama bukanlah amalan rakyat Sabah kerana boleh merosakkan keharmonian hidup bermasyarakat.
“Salah satu contoh yang tidak releven dibawa ke sini adalah tindakan salah seorang pereka grafik dari negeri jiran Fahmi Reza yang tergamak memburukkan imej Tuan Yang Terutama (TYT) Negeri Sabah dengan rekaan lukisan tidak masuk akal”. Tegasnya.
Katanya, tindakan individu itu bukan sahaja suatu penghinaan terhadap institusi tertinggi dalam kerajaan negeri, malah cuba menghasut rakyat dengan budaya ekstrime yang merosakkan keharmonian.
Dalam masa sama, beliau turut membidas tindakan pemimpin Parti Islam Semalaysia (PAS) yang begitu lantang mempertikaikan sambutan krismas di salah satu kementerian di Putrajaya baru-baru ini.
Jelasnya, tindakan itu nyata memperlihatkan betapa ceteknya minda hidup bermasyarakat dikalangan pemimpin parti PAS yang sekaligus mewujudkan suasana tidak harmoni dikalangan masyarakat.
“Di Sabah, kita hidup harmoni dikalangan rakyat pelbagai kaum dan agama. Bukan sahaja rakyat Sabah, malah ramai juga saudara dari Semenanjung akan terus kekal tinggal disini kerana mereka menghayati kepelbagaian hidup bermasyarakat yang sekian lama terjalin”. Jelasnya dalam satu temubual khas dekat sini pada Jumaat.
Justeru, beliau mengajak agar rakyat terus bersatu menentang tindakan yang boleh memecah-belah keharmonian kaum dan agama sebaliknya mencintai kehidupan aman damai bersama.
“Kita mempunyai pelbagai ideologi politik berbeza, namun kita tidak boleh menabur dakyah yang menyentuh sensitiviti kaum, agama termasuk menghina institusi tertinggi kerajaan”. Tambahnya.
Sebelum ini, beberapa pemimpin, individu dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) tampil membuat laporan polis terhadap tindakan Fahmi Reza yang memuat naik poster karikatur Musa dengan imej negatif sebagai bantahan terhadap pelantikannya atas alasan pernah dikaitkan dengan rasuah.
Pihak polis turut membuka kertas siasatan keatas beliau dibawah Akta Hasutan selepas menerima lebih daripada 30 laporan.



