27 C
Kota Kinabalu
Khamis, Disember 5, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Pusat pengumpulan hasil kelapa sawit di Tenom bakal diwujudkan: Datuk Rubin Balang.

Rubin (duduk tengah)bergambar kenangan bersama AJK KPSM Kemabong Tenom Berhad

TENOM:Pusat pengumpulan hasil kelapa sawit di Tenom bakal diwujudkan bagi mengimbangi harga semasa hasil komoditi itu, kata Adun Kemabong, Datuk Rubin Balang.

Katanya, ini berikutan daripada aduan dan keluhan para pekebun kecil bahawa terdapat isu harga yang berbeza-beza digunakan oleh setiap kilang atau tempat dimana hasil kelapa sawit ini ditimbang.

“Isu soal timbangan juga kerap berlaku kerana kadar yang tidak sama dan tidak adil kepada para pekebun kecil di daerah ini.

“Harga sawit hari ini bertambah baik dan semakin tinggi kerana terdapat permintaan yang tinggi di dalam pasaran, justeru para pekebun kecil wajar diberikan harga yang berpatutan dengan hasil yang mereka perolehi.

“Saya akan mengarahkan Sawit Kinabalu supaya membeli minyak dari Kemabong dengan harga yang berpatutan agar pekebun kecil daerah ini mendapat harga yang lebih baik,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Pertama Koperasi Penanam Sawit Mampan Kemabong Tenom Berhad di Hotel Perkasa, di sini, kelmarin.

Sebahagian daripada anggota KPSM Kemabong Tenom Berhad yang hadir pada mesyuarat agung itu.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu menambah akan bekerjasama dengan Sawit Kinabalu dan berusaha untuk selaraskan harga sawit untuk kebaikan kesemua pekebun kecil kelapa sawit.

“Saya amat menyokong penubuhan Koperasi Penanam Kelapa Sawit Mampan Kemabong Tenom Berhad untuk membantu para pekebun kecil dalam pelbagai aspek.

“Sebagai wakil rakyat yang telah mendapat mandat dan keprcayaan dari rakyat, saya bertanggungjawab untuk membantu rakyat seperti mengemukakan permohonan atau masalah jawatankuasa koperasi penanam kelapa sawit Tenom dan Kemabong kepada pihak kerajaan.

“Saya doakan semoga koperasi ini akan berkembang maju dan ahli-ahlinya terus bertambah untuk saling bekerjasama dalam membantu para pekebun kecil di daerah ini,” katanya. 

Hadir sama, Ketua Penyelaras MPOB Zon 1 Sabah, Amran Arifin, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kemabong, Sabili Ahunang, Pengerusi Koperasi Penanam Kelapa Sawit Mampan Kemabong Tenom Berhad, Sigoh Lunam dan anggota KPSM Kemabong Tenom Berhad.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN