GIMIK .. Datuk Maria Chong (kedua kiri) bersama yang lain memotong reben sebagai gimik perasmian
KOTA KINABALU : Penubuhan Pusat Jagaan Rumah Ibu disifatkan sebagai manifestasi komitmen bersama kerajaan, pertubuhan masyarakat dan komuniti dalam memperkasa institusi keluarga serta melindungi golongan rentan, kata Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Maria Chong.
Dalam ucapan perasmian pusat itu hari ini, beliau berkata penubuhan Rumah Ibu bukan sekadar penyediaan infrastruktur, sebaliknya merupakan lambang harapan, kasih sayang serta usaha memulihkan maruah ibu dan anak yang memerlukan perlindungan.
“Pusat ini mencerminkan nilai keterangkuman, belas ihsan dan tanggungjawab bersama yang wajib dijunjung sebagai masyarakat prihatin
“Ia hadir tepat pada masanya sebagai tempat perlindungan, pusat pemerkasaan keluarga dan ruang pemulihan kasih sayang antara ibu dan anak,” katanya.
Maria turut merakamkan penghargaan kepada barisan Ahli Lembaga Pengarah diketuai Datuk Haji Abdullah Sibil dan Ir. Shahul Hamid serta rakan strategik atas dedikasi merealisasikan penubuhan pusat itu.
Beliau menjelaskan bahawa misi utama Rumah Ibu adalah menangani isu “social orphanhood” dan memastikan setiap kanak-kanak membesar dalam suasana keluarga yang selamat, stabil dan penuh perhatian.
“Tempat terbaik untuk anak bukanlah di institusi, tetapi dalam keluarga yang memberi rasa memiliki dan kehangatan
“Prinsip ini selari dengan amalan terbaik dunia dan lahir daripada hati nurani kita,” katanya.
Menurut beliau, pusat itu akan memberi tumpuan kepada ibu dan anak yang berada dalam situasi rentan seperti mangsa keganasan rumah tangga, ibu tunggal berpendapatan rendah serta mereka yang tiada sokongan keluarga. Selain menyediakan tempat tinggal kondusif, pusat berkenaan turut menawarkan sokongan psikososial, kaunseling, pendidikan asas dan bimbingan keibubapaan.
Maria turut menggariskan beberapa tumpuan kementerian terhadap pengurusan Rumah Ibu, antaranya memastikan kualiti perkhidmatan yang mengutamakan kesejahteraan fizikal dan emosi menerusi tenaga kerja profesional; memperkasa ekonomi ibu melalui latihan kemahiran dan program keusahawanan; melaksanakan sistem pemantauan berkala terhadap keberkesanan program perlindungan serta memperkukuh kolaborasi strategik bersama NGO, institusi akademik dan sektor swasta bagi menambah sumber kewangan, kepakaran dan jaringan sokongan.
Beliau mengakui cabaran seperti tekanan ekonomi, isu kesihatan mental dan kerentanan keluarga tidak dapat dielakkan, namun yakin kerjasama pelbagai pihak mampu mengubah kesukaran menjadi peluang.
“Marilah kita pastikan tiada anak yang tercicir daripada kasih sayang dan setiap anak di Sabah berpeluang membesar dalam suasana selamat
“Dengan itu, kita bukan sahaja mengangkat martabat individu tetapi juga membina masa depan yang lebih cerah dan berperikemanusiaan,” katanya.
Maria kemudiannya merasmikan pembukaan rasmi Pusat Jagaan Rumah Ibu dengan penuh rasa syukur dan penghargaan.



