Datuk Jonathan Yasin
RANAU: Projek naiktaraf Jalan Kundasang-Kauluan-Pinausok, Ranau, Sabah dijangka akan siap pada September 2026 kata Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin dalam siaran Facebooknya baru-baru ini.
Menurut beliau, projek yang melibatkan kerja menaik taraf jalan sepanjang 8km mengikut spesifikasi JKR R2 serta pembinaan sebuah jambatan tersebut telah diluluskan pada tahun 2020 dengan kos RM48.6 juta.
Tambahnya, projek ini sedang dalam peringkat pembinaan dengan kemajuan fizikal mengikut jadual sehingga 31 Ogos 2025 adalah 23 peratus, dan agensi pelaksana bagi projek ini adalah JKR Sabah.
Jonathan berkata, info perkembangan tersebut diperolehi dalam jawapan kepada soalan berkaitan projek naik taraf jalan Kundasang-Kundasang Lama-Kinaundusan-Semuruh-Pinausok dalam Pemberitahuan Pertanyaan Dewan Rakyat Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat Parlimen Kelima Belas Tahun 2025.
Dalam pertanyaan lisannya, beliau meminta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan bilakah Kerajaan akan mempertimbangkan untuk menaik taraf jalan berkenaan.
Menurutnya lagi, projek naik taraf jalan tersebut sudah lama dipohon untuk dinaik taraf memandangkan jalan ini sangat penting untuk aktiviti ekonomi penduduk kampung serta menjadi jalan alternatif yang penting ketika jalan utama mengalami kerosakan.
Sementara itu, siaran tersebut menerima banyak respon dari netizen yang kebanyakannya mempersoalkan mengapa kemajuan fizikal jalan berkenaan baru siap 23 peratus sedangkan ia telah diluluskan sejak tahun 2020 lagi.



