26 C
Kota Kinabalu
Sabtu, November 15, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

PROGRAM SIMPOSIUM TVET SABAH 2025 (SIMPOSIUM 2.0)

KOTA KINABALU (AHAD): Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, dengan kerjasama strategik Institut Kajian Pembangunan (Sabah), North Borneo University College (NBUC) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), akan menganjurkan Sabah TVET Symposium 2.0 sebagai kesinambungan daripada kejayaan penganjuran Symposium 1.0 sebelum ini.

Simposium selama dua hari ini akan berlangsung pada 9 dan 10 Julai 2025 (Rabu dan Khamis) di The Magellan, Sutera Harbour Resort, Kota Kinabalu, dengan mengetengahkan tema “Sustainable TVET for Sabah’s Future Human Capital: Integrated TVET System”.

Objektif utama penganjuran simposium ini adalah untuk memperkukuh dan menyelaraskan ekosistem TVET di Sabah dengan keperluan sebenar industri semasa dan akan datang.

Simposium ini turut menjadi wadah penting untuk menghubungkan para pendidik, operator latihan vokasional, pembuat dasar dan pemain industri agar dapat membentuk strategi pembangunan modal insan yang lebih mampan, responsif dan inklusif sejajar dengan hala tuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ). Lebih 300 peserta dari seluruh negeri dijangka hadir bagi menjayakan sesi libat urus dan perkongsian ilmu sepanjang simposium ini.

Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul, Ketua Pegawai Eksekutif IDS Sabah merangkap Pengerusi Penganjur Simposium 2.0, menegaskan bahawa pendidikan teknikal dan vokasional tidak seharusnya dianggap sebagai pilihan kedua, sebaliknya perlu menjadi teras utama dalam membangunkan potensi masyarakat akar umbi, mengukuhkan ekonomi setempat dan merapatkan jurang peluang di kawasan luar bandar serta pedalaman.

Beliau menambah bahawa pendekatan latihan kemahiran harus mengambil kira bukan sahaja kehendak pasaran pekerjaan, tetapi juga realiti geografi dan warisan budaya tempatan.

“TVET tidak boleh beroperasi secara berasingan. Kita perlukan ekosistem yang bersepadu, bukan sekadar di peringkat dasar tetapi juga dalam pelaksanaannya di lapangan,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa aspirasi Sabah untuk menjadi negeri berkemahiran tinggi hanya akan tercapai jika rakyat turut dibekalkan dengan jati diri, daya tahan budaya dan kesedaran terhadap kekuatan pengetahuan tempatan.

Antara speaker yang ditampilkan dalam sesi ucapan utama simposium ini adalah Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul (Ketua Pegawai Eksekutif IDS Sabah), Datuk Mohd. Hanafiah Mohd. Kassim (Setiausaha Tetap MOSTI Sabah), Prof. Datuk Sr. Dr. Mohaizi Mohamad (Presiden NBUC), Ir. Ts. Dr. Azmi bin Ahmad (Timbalan Ketua Pengarah JPK), dan Assoc. Prof. Ts. Dr. Hj. Shanusi Hj. Ahmad (Penyelaras Pengurusan TVET Universiti Utara Malaysia).

Lima subtema utama turut digarap sepanjang simposium ini, meliputi pemodenan sistem latihan dan peningkatan laluan kerjaya; peluasan akses dan jaminan inklusiviti dalam pembangunan kemahiran secara holistik; peranan TVET sebagai pemacu inovasi dan pertumbuhan ekonomi transformatif; pemantapan sinergi antara institusi pendidikan dan industri dalam memperkukuh daya saing tenaga kerja; serta adaptasi terhadap amalan terbaik dan tren global dalam memperkasa ekosistem TVET Sabah.

Dengan pengisian menyeluruh dan penyertaan pelbagai pihak berkepentingan, simposium ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada pendekatan baharu dalam membentuk masa depan pendidikan kemahiran di Sabah. Yuran penyertaan adalah RM300 untuk orang awam dan RM100 untuk pelajar.

Maklumat lanjut dan pendaftaran boleh dibuat melalui laman web rasmi www.sabahtvet.nbuc.edu.my atau ikuti perkembangan terkini di Facebook rasmi Sabah TVET Symposium di facebook.com/SABAHTVET. Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Penyelidik IDS, Encik Romandyus Micheal melalui emel romandyus.michael@ids.org.my atau hubungi talian 088-450500 / 017-860 5971.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN