Datuk Flovia (kedua kanan) dibawa melawat gerai-gerai pameran dan jualan produk kraftangan hasil tangan prospek penjara di negeri Sabah.
PENAMPANG: Program MYPRIDE Fest & Fair Zon Sabah 2025 melabuhkan tirai hari ini selepas berlangsung selama lima hari di West Atrium, ITCC Shopping Mall, Penampang.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Flovia Ng.
Program anjuran Jabatan Penjara Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan itu menjadi platform untuk memperkenalkan produk dan kemahiran prospek penjara kepada masyarakat, sekali gus mempamerkan hasil latihan vokasional yang dijalankan di institusi penjara.
Sepanjang penganjuran, pelbagai aktiviti diadakan termasuk pameran dan jualan produk, Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak Tadika, program Mesej dari Penjara, Pertandingan Karaoke Klasik, Saringan Kesihatan, Program Derma Darah dan Pertandingan Pidato Korektif.
Dalam ucapannya, Datuk Flovia merakamkan penghargaan kepada Timbalan Komisioner Penjara Tey Hock Soon, Pengarah Penjara Negeri Sabah dan W.P. Labuan, serta Penolong Komisioner Penjara Noor Sazlawati Zakaria, Pengarah Penjara Wanita Kota Kinabalu merangkap penganjur program.
Beliau turut memuji komitmen semua institusi penjara di Sabah dan Labuan atas kejayaan menganjurkan program berkenaan.
Beliau menegaskan sokongan kerajaan negeri untuk terus memperkasa penganjuran program seperti ini yang bukan sahaja membantu memasarkan produk prospek penjara, malah mengeratkan kerjasama antara institusi penjara, agensi kerajaan dan komuniti setempat.
“Jadikan MYPRIDE Fest & Fair sebagai pemangkin kepada lebih banyak program inklusif, progresif dan menyatukan masyarakat,” katanya sambil berharap ilmu, jaringan dan pengalaman yang terhasil sepanjang program dapat diteruskan.
Datuk Flovia turut mencadangkan agar institusi penjara di Sabah mempertimbangkan penyediaan kursus berteraskan kemahiran fabrik untuk para penghuni.
Beliau mencadangkan bidang seperti batik dan tenunan songket diperkenalkan selain kursus sedia ada.
“Kursus tersebut bukan sahaja mampu memperkaya kemahiran insaniah penghuni, malah memberi peluang kepada mereka menjana pendapatan selepas tamat hukuman
“Kemahiran fabrik mempunyai potensi dijadikan industri komuniti yang mampu mengangkat warisan kraf tempatan serta membuka peluang kerjasama dengan agensi berkaitan, koperasi dan usahawan sosial
“Jika digarap secara terancang, hasil kerja penghuni boleh dipasarkan sebagai produk kraftangan negeri, sekali gus meningkatkan keyakinan diri dan memberi landasan untuk mereka membina kehidupan baharu yang lebih produktif,” katanya
Turut hadir pada majlis penutupan ialah Timbalan Komisioner Penjara merangkap Pengarah Penjara Negeri Sabah dan W.P. Labuan, Tey Hock Soon; Penolong Kanan Komisioner Penjara AB Nasif Sarahan, Timbalan Pengarah Penjara Negeri Sabah dan W.P. Labuan; serta Penolong Komisioner Penjara Noor Sazlawati Zakaria, Pengarah Penjara Wanita Kota Kinabalu merangkap Penganjur MYPRIDE Fest & Fair Zon Sabah 2025, bersama ketua-ketua institusi penjara Sabah dan Labuan.



